PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI SUSULAN KONFLIK DI TIMUR TENGAH

02/03/2026 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah ketika mengakhiri sesi dagangan pagi, seiring dengan pasaran serantau, berikutan sentimen berhati-hati pelabur terhadap ekuiti akibat konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 17.59 mata atau 1.02 peratus kepada 1,699.02, berbanding 1,716.61 ketika ditutup pada Jumaat. 

Indeks penanda aras itu dibuka 27.97 mata lebih rendah pada 1,688.64 dan bergerak antara 1,684.28 dan 1,703.90 sepanjang sesi.

Dalam pasaran keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak  984 berbanding 245, manakala 368 kaunter kekal tidak berubah, 1,028 tidak diniagakan dan 23 digantung. Jumlah dagangan sebanyak 2.27 bilion saham bernilai RM1.99 bilion.

Di pasaran serantau, Indeks Straits Times turun 1.77 peratus kepada 4,906.84, Nikkei 225 Jepun susut 1.42 peratus kepada 58,012.46, manakala Hang Seng Hong Kong merosot 1.58 peratus kepada 26,209.91.

Hong Leong Investment Bank berkata, FBM KLCI memulakan dagangan bulan Mac dengan permulaan yang mencabar, seiring dengan jualan besar-besaran Wall Street pada Jumaat, berikutan peningkatan konflik di Timur Tengah.

“Dibandingkan dengan serangan misil/drone Iran ke atas Israel pada Jun 2025, konflik minggu lepas lebih meluas dari segi skala dan impak strategik, meningkatkan risiko geopolitik dan serantau.

"Pelabur juga mengambil kira keputusan korporat Februari dan ketidaktentuan tarif selepas keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) mengenai Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA)," katanya.

Bank pelaburan itu menyatakan paras sokongan utama ditetapkan pada 1,663-1,680-1,700, manakala paras rintangan penting dijangka berada pada 1,730-1,754.

Antara kaunter wajaran tinggi, Press Metal naik sembilan sen kepada RM7.22 dan Hong Leong Bank meningkat 20 sen kepada RM23.48, manakala Maybank turun 18 sen kepada RM11.78, Public Bank dan CIMB masing-masing susut sembilan sen kepada RM4.84 dan RM7.95.

Kaunter paling aktif, Hibiscus Petroleum meningkat 23 sen kepada RM1.83 dan Velesto naik setengah sen kepada 31 sen, manakala Pharmaniaga susut satu sen kepada 28.5 sen, dan Zetrix AI serta Capital A merosot masing-masing 3.5 sen kepada 78.5 sen dan 53.5 sen.

Antara kaunter paling untung, Petronas Chemicals melonjak 24 sen kepada RM3.24 dan Petronas Dagangan meningkat 22 sen kepada RM22.20, manakala IGB dan Vstecs masing-masing naik 16 sen kepada RM3.96 dan RM4.64.

Kaunter paling rugi, Nestle merosot RM2.60 kepada RM107.30, Fraser & Neave susut 96 sen kepada RM33.98, Malaysian Pacific Industries turun 66 sen kepada RM31.30 dan Hong Leong Industries susut 48 sen kepada RM18.24.

Di papan indeks, Indeks FBMT100 turun 133.66 mata kepada 12,300.16, Indeks FBM Emas susut 136.60 mata kepada 12,474.83, Indeks FBM70 merosot 216.68 mata kepada 17,325.79, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 113.81 mata kepada 12,103.75, manakala Indeks FBM ACE turun 122.99 mata kepada 4,597.26.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 225.62 mata kepada 20,856.18 dan Indeks Perladangan susut 75.07 mata kepada 8,194.50, manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.23 mata kepada 171.06 dan Indeks Tenaga meningkat 5.49 mata kepada 759.23.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan