Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia secara keseluruhannya ditutup rendah pada Rabu berikutan trend penyusutan di pasaran serantau, dengan Korea Selatan mencatat penurunan ketara berikutan pelabur memberikan reaksi terhadap kesan geopolitik yang semakin meluas.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 13.73 mata atau 0.80 peratus kepada 1,698.22 berbanding 1,711.95 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.52 mata kepada 1,711.43 dan bergerak antara 1,694.75 dan 1,713.19 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 945 berbanding 257 manakala 446 kaunter tidak berubah, 974 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.51 bilion unit bernilai RM3.79 bilion daripada 3.31 bilion unit bernilai RM3.67 bilion pada Selasa.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata perkembangan utama yang menjejaskan pasaran adalah laporan mengenai Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mengancam untuk mengenakan embargo perdagangan menyeluruh ke atas Sepanyol.
Ancaman itu berlaku selepas sekutu Eropah dan NATO itu menolak untuk membenarkan pesawat tentera AS menggunakan pangkalannya untuk operasi berkaitan dengan kemungkinan serangan terhadap Iran.
Beliau berkata perkembangan itu telah meningkatkan kebimbangan bahawa konflik itu boleh merebak di luar Timur Tengah sekali gus menambah ketidaktentuan dalam geopolitik dan perdagangan, yang mendorong pelabur untuk mengurangkan penglibatan dalam saham, termasuk di Malaysia.
“Apa yang menarik, pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia sepanjang dua sesi dagangan (Isnin dan Selasa), yang menunjukkan beberapa dana masih mencatat penurunan pasaran baru-baru ini sebagai peluang untuk memasuki pasaran walaupun ketidaktentuan global semakin meningkat,” kata Mohd Sedek kepada Bernama.
Beliau berkata dalam masa terdekat, pelabur dijangka kekal berhati-hati dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga hala tuju situasi geopolitik adalah jelas.
Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura rendah 2.11 peratus kepada 4,812.75, Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 2.01 peratus kepada 25,249.48, Nikkei 225 Jepun menyusut 3.61 peratus kepada 54,245.54 dan KOSPI Korea Selatan rendah 12.06 peratus kepada 5,093.54.
Antara saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Press Metal meningkat enam sen kepada RM7.40, Sunway Bhd naik lapan sen kepada RM5.63, Maybank susut 18 sen kepada RM11.66, Public Bank rendah lima sen kepada RM4.84 dan CIMB berkurangan tujuh sen kepada RM7.95.
Bagi saham paling aktif, Hengyuan Refining Company melonjak 19 sen kepada RM1.54, Capital A tidak berubah pada 50 sen, Bumi Armada susut 2.5 sen kepada 35.5 sen dan Velesto turun satu sen kepada 32 sen.
Kaunter paling untung antaranya United Plantations yang mengukuh 60 sen kepada RM30.20, PPB meningkat 30 sen kepada RM10.90 dan Malaysian Pacific Industries menambah lapan sen kepada RM30.50.
Bagi kaunter paling rugi, Nestle susut 50 sen kepada RM107, Allianz Malaysia menyusut 38 sen kepada RM21.36, Hong Leong Bank berkurangan 34 sen kepada RM23.06 dan Kuala Lumpur Kepong susut 30 sen kepada RM18.60.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 117.95 mata kepada 12,434.47, Indeks FBMT 100 rendah 110.10 mata kepada 12,266.66, Indeks FBM Emas Shariah merosot 83.60 mata kepada 12,088.24, Indeks FBM 70 menguncup 203.75 mata kepada 17,154.26, dan Indeks FBM ACE turun 109.94 mata kepada 4,505.82.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 234.76 mata kepada 20,768.78, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.49 mata kepada 171.72, Indeks Tenaga rendah 15.50 mata kepada 786.61 dan Indeks Perladangan menyusut 38.41 mata kepada 8,138.66.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.20 bilion unit bernilai RM3.54 bilion daripada 2.16 bilion unit bernilai RM3.43 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran menokok kepada 922.48 juta unit bernilai RM125.75 juta daripada 824.92 juta unit bernilai RM108.24 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 377.39 juta unit bernilai RM126.46 juta berbanding 328.84 juta unit bernilai RM127.09 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 317.24 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (313.22 juta), pembinaan (134.85 juta), teknologi (232.84 juta), perkhidmatan kewangan (154.53 juta), hartanah (189.34 juta), perladangan (29.50 juta), amanah pelaburan hartanah (26.27 juta), dana tertutup (7,000), tenaga (515.44 juta), penjagaan kesihatan (141.68 juta), telekomunikasi dan media (64.54 juta), pengangkutan dan logistik (37.52 juta), utiliti (52.31 juta) dan amanah perniagaan (34,100).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial