Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Ringgit kekal dalam julat kecil dan ditutup rendah berbanding dolar AS pada Khamis berikutan ketegangan yang meningkat di Timur Tengah memberi kesan kepada sentimen pasaran dan menyokong dolar AS.
Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 3.9415/9480 berbanding dolar AS daripada 3.9395/9465 semasa ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketegangan global terutama konflik yang semakin meningkat melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran terus menjadi tumpuan pedagang, yang memberi kesan negatif terhadap sentimen pasaran.
Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dan pada masa sama mengakui risiko geopolitik yang timbul daripada konflik Iran.
“Ini bermakna BNM sedang menilai keadaan semasa dan OPR dijangka kekal stabil masa terdekat. Keadaan ini sepatutnya memberi kesan positif kepada ringgit dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, bank pusat berkata pada tahap OPR semasa, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menganggap dasar monetari sedia ada adalah sesuai dan menyokong ekonomi dalam keadaan kestabilan harga.
“Ini bermakna BNM sedang menilai situasi semasa dan OPR dijangka kekal stabil dalam masa terdekat. Situasi ini sepatutnya memberi kesan positif kepada ringgit dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.
BNM berkata MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berkaitan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.
Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2635/2722 daripada 5.2640/2733 semalam namun susut berbanding euro kepada 4.5808/5884 daripada 4.5738/5819 semasa ditutup semalam dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5080/5124 daripada 2.5062/5108 sebelumnya.
Mata wang itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.
Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.4711/5016 daripada 12.5246/5541 pada Rabu namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0885/0938 daripada 3.0864/0921 semalam.
Unit tempatan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 233.1/233.6 daripada 233.1/233.7 semasa ditutup semalam dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.72/6.74.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial