Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur kekal stabil hari ini dengan harapan perang Amerika Syarikat (AS)–Israel terhadap Iran akan berakhir tidak lama lagi, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran turut disokong oleh data ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan.
“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dikekang oleh prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau yang bercampur-campur dan petunjuk bekalan meningkat daripada negara pengeluar getah utama,” katanya kepada Bernama.
Presiden AS Donald Trump hari ini berkata operasi ketenteraan AS di Iran akan berakhir tidak lama lagi, mengurangkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan minyak global yang berpanjangan.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent merosot 7.19 peratus kepada US$91.79 setong.
“Selain itu, China memulakan 2026 dengan eksport jauh melebihi unjuran didorong oleh permintaan terhadap elektronik yang tinggi dan memastikan ekonomi berada di landasan untuk mengatasi lebihan dagangan sebanyak US$1.2 trilion tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun merosot pada Selasa berikutan harga minyak menurun dan jangkaan bekalan daripada pengeluar utama memberi impak kepada pasaran.
“Dilaporkan bahawa bekalan meningkat daripada pengeluar utama, dengan Indonesia dan Ivory Coast memasuki tempoh kemuncak menoreh dan mengutip hasil getah, menambah tekanan kepada pasaran,” katanya.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 dan susu getah pukal, masing-masing tidak berubah pada 793 sen sekilogram dan 656 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial