Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Rabu, dipengaruhi oleh penurunan harga minyak mentah baru-baru ini dan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).
Selain itu, kebimbangan terhadap bekalan minyak di Asia Barat semakin mereda berikutan terdapatnya laporan kapal tangki telah dibenarkan melalui Selat Hormuz yang menyumbang kepada kejatuhan terkini harga minyak mentah, kata peniaga minyak sawit daripada Iceberg X Sdn Bhd, David Ng.
“Perkembangan ini telah menurunkan harga minyak mentah, sekali gus menekan harga minyak sawit memandangkan minyak sawit digunakan secara meluas sebagai bahan mentah biobahan api.
"Sehubungan itu, kami melihat paras sokongan pada RM4,480 satu tan dan paras rintangan pada RM4,600 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak April 2026 susut RM40 kepada RM4,502 satu tan, Mei 2026 turun RM54 kepada RM4,534, manakala Jun 2026 berkurangan RM53 kepada RM4,528 satu tan.
Kontrak Julai 2026 turut menguncup RM47 kepada RM4,500 satu tan, Ogos 2026 turun RM44 kepada RM4,464 satu tan, manakala September 2026 merosot RM46 kepada RM4,425 satu tan.
Jumlah dagangan bagaimanapun meningkat kepada 109,385 lot daripada 102,525 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka susut kepada 232,042 kontrak daripada 234,227 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi April Selatan turun RM50 kepada RM4,530 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial