Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis susulan ketidakpastian mengenai konflik di Asia Barat mencetuskan mod pengecualian risiko dalam pasaran kewangan.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 3.9920/9955 berbanding dolar AS daripada 3.9620/9670 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tanda-tanda ketegangan reda masih belum kelihatan dengan kerajaan Iran menolak rundingan damai walaupun terdapat desakan daripada AS.
“Tuntutan daripada kerajaan Iran termasuk pampasan untuk kerosakan susulan serangan AS-Israel ke atas negaranya, jaminan terhadap serangan ketenteraan selanjutnya dan pengiktirafan autoritinya ke atas Selat Hormuz, nampaknya merupakan satu permintaan yang sukar.
“Oleh itu, sentimen dalam pasaran pertukaran asing berkemungkinan akan kekal berhati-hati dalam jangka masa terdekat, memandangkan negara-negara di seluruh Asia bergelut dengan kekurangan bahan api,” katanya kepada Bernama.
Justeru, Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka akan terus susut nilai berbanding dolar AS memandangkan ketidakpastian geopolitik menyebabkan pelabur berada dalam mod mengelak risiko.
Ringgit ditutup rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.5025/5049 daripada 2.4935/4969 ketika ditutup pada Rabu, susut berbanding pound Britain kepada 5.3301/3348 daripada 5.3087/3154 semalam dan berkurangan berbanding euro kepada 4.6140/6180 daripada 4.5963/6021 sebelumnya.
Dalam pada itu, mata wang tempatan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.1102/1132 daripada 3.0965/1007 sebelum tu, menguncup berbanding baht Thailand kepada 12.1529/1695 daripada 12.1336/1557 semalam, rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 236.1/236.4 daripada 234.2/234.6 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.63 from 6.59/6.60 sebelum itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial