PASARAN > BERITA

RINGGIT DIBUKA CATAT PENINGKATAN SEMULA SEDERHANA BERBANDING DOLAR AS

31/03/2026 09:35 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Selasa, dengan peningkatan semula yang sederhana namun kenaikan kekal terhad, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.0265/0400 berbanding dolar AS daripada 4.0280/0350 dicatatkan semalam.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Indeks Dolar AS (DXY) kekal melebihi paras 100 dalam aliran peralihan kepada aset selamat berikutan risiko geopolitik yang semakin meningkat.

“Pada masa yang sama, trend Indeks Dolar Asia Bloomberg yang lemah menunjukkan keadaan mata wang serantau kekal stabil, menandakan bahawa tekanan ke atas ringgit sebahagian besarnya didorong oleh pengukuhan dolar global berbanding asas domestik atau serantau yang lemah,” katanya kepada Bernama.

Dalam perkembangan lain, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata petunjuk bercampur-campur daripada Amerika Syarikat telah menjejaskan harapan terhadap ketegangan yang mereda dalam konflik Asia Barat.

Beliau berkata hakikatnya ialah peperangan tersebut telah menyebabkan sekatan di Selat Hormuz dan kerosakan terhadap infrastruktur minyak dan gas di negara-negara Teluk.

“Keadaan ini akan mengambil masa yang lama untuk pulih. Didapati harga minyak yang tinggi akan kekal dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, mata wang tempatan dibuka tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding pound kepada 5.3033/3211 daripada 5.3311/3403 semasa ditutup semalam, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5191/5278 daripada 2.5237/5282 dan naik berbanding euro kepada 4.6128/6282 daripada 4.6294/6374 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1160/1267 daripada 3.1227/1284 dicatatkan semalam, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.2483/2976 daripada 12.2558/2831 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 236.8/237.7 daripada 236.9/237.4.

Ringgit mendatar berbanding peso Filipina pada 6.63/6.65 sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan