PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI SEIRING KENAIKAN HARGA MINYAK MENTAH, KACANG SOYA

31/03/2026 10:27 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi seiring dengan harga minyak mentah dan minyak kacang soya yang lebih kukuh, kata seorang peniaga.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata, prestasi eksport yang kukuh baru-baru ini turut meningkatkan sentimen pasaran hari ini.

"Kami mendapati harga sokongan di atas RM4,700 setiap tan dan rintangan pada RM4,850 setiap tan," katanya kepada Bernama.

Sewaktu berita ini ditulis, minyak mentah Brent meningkat 4.53 peratus kepada US$117.89 setiap tong.

Pada penutup dagangan, kontrak April 2026 dan Julai 2026 masing-masing bertambah RM63 kepada RM4,729 dan RM4,828 setiap tan manakala kontrak Mei 2026 naik RM49 kepada RM4,797 setiap tan dan kontrak Jun 2026 pula menokok RM56 kepada RM4,828 setiap tan.

Kontrak Ogos 2026 berkembang RM66 kepada RM4,806 setiap tan dan kontrak September 2026 melonjak RM65 kepada RM4,776 setiap tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 109,419 lot daripada 104,052 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 246,071 kontrak daripada 242,882 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM untuk April Selatan bertambah sebanyak RM50 kepada RM4,750 setiap tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan