PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI, INDEKS KOMPOSIT NAIK 1.10 PERATUS

01/04/2026 07:37 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Rabu, dengan indeks utama meningkat 1.10 peratus seiring dengan kenaikan kukuh merentasi pasaran serantau susulan peningkatan di Wall Street dalam tempoh semalaman, kata penganalisis.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata peningkatan sentimen itu disokong oleh kebimbangan geopolitik yang semakin berkurangan dan penurunan harga minyak.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 18.54 mata atau 1.10 peratus kepada 1,708.90 daripada 1,690.36 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 25.58 mata kepada 1,715.94, menandakan paras tertinggi harian, dan mencecah paras terendah 1,700.20 semasa sesi pertengahan pagi.

Pasaran meluas adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 780 berbanding 444 manakala 475 kaunter tidak berubah, 926 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan susut kepada 3.58 bilion unit bernilai RM3.56 bilion daripada 3.64 bilion unit bernilai RM3.96 bilion semalam.

Mohd Sedek berkata kebimbangan geopolitik yang mereda dan penurunan harga minyak telah membantu meningkatkan minat risiko secara keseluruhan, terutama berikutan harga tenaga yang rendah semakin dilihat menyokong jangkaan inflasi dan struktur kos korporat di seluruh rantau ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pergerakan FBM KLCI melebihi paras utama 1,700 yang mencerminkan daya tahan, namun struktur yang lebih meluas kekal dalam jajaran kecil.

"Pasaran menilai kemungkinan ketegangan mereda sebagai hasil yang dijangka. Bagaimanapun sehingga terdapat maklumat yang jelas, kenaikan itu kekal didorong oleh kedudukan dan bukan faktor asas, menyebabkannya sensitif terhadap sebarang perubahan sentimen geopolitik," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran menjadi positif susulan ketegangan geopolitik yang mereda di Asia Barat.

Bagaimanapun katanya pelabur disarankan berhati-hati dengan sebarang pergerakan pasaran yang bertukar arah memandangkan situasi kekal tidak menentu dan boleh berubah secara tiba-tiba.

“Dalam masa terdekat, kami menjangka minat membeli kekal terpilih, dengan pelabur memfokuskan kepada saham yang ketinggalan dan defensif sambil perlahan-lahan membina semula kedudukan mereka.

“Bagaimanapun, kenaikan yang berterusan mungkin terbatas sekiranya tiada pemangkin kukuh,” katanya.

Thong berkata sehubungan itu, FBM KLCI dijangka diniagakan dalam lingkungan 1,700-1,730 untuk tempoh yang masih berbaki minggu ini, dengan turun naik yang berterusan berikutan pasaran terus memantau dengan rapi perkembangan geopolitik.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 30 sen kepada RM11.66, Public Bank menokok sembilan sen kepada RM4.77, CIMB naik 16 sen kepada RM7.71 dan Tenaga Nasional meningkat 18 sen kepada RM14.08 manakala IHH Healthcare susut dua sen kepada RM8.96.

Bagi saham paling aktif, V.S. Industry susut setengah sen kepada 20 sen, Zetrix AI meningkat 1.5 sen kepada 75.5 sen, AirAsia X naik 10 sen kepada RM1.21 dan Top Glove menyusut tiga sen kepada 66 sen.

Dalam kalangan kaunter paling untung, Nestle meningkat RM1.58 kepada RM100.70, Malaysian Pacific Industries naik RM1.18 kepada RM29.96, United Plantations melonjak 80 sen kepada RM34.80 dan Hong Leong Financial menokok 56 sen kepada RM19.52.

Bagi kaunter paling rugi, Petronas Chemicals susut 67 sen kepada RM5.40, KLCC Property dan MISC masing-masing rendah 24 sen kepada RM8.82 dan RM8.20, Hengyuan Refining susut 16 sen kepada RM1.24 dan Westports berkurangan 13 sen kepada RM5.80.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 menokok 142.68 mata kepada 12,317.59, Indeks FBM Emas naik 147.28 mata kepada 12,451.66, Indeks  FBM 70 meningkat 237.66 mata kepada 17,102.35, Indeks FBM Emas Shariah menokok 82.47 mata kepada 12,199.68 dan Indeks FBM ACE naik 103.44 mata kepada 4,350.35.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 438.26 mata kepada 20,462.25, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.02 mata kepada 181.88, Indeks Tenaga menyusut 5.22 mata kepada 792.32 dan Indeks Perladangan berkurangan 17.96 mata kepada 8,966.27.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.29 bilion unit bernilai RM3.36 bilion daripada 2.16 bilion unit bernilai RM3.70 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 1.03 bilion unit bernilai RM123.91 juta daripada 1.22 bilion unit bernilai RM162.61 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 262.88 juta unit bernilai RM102.19 juta daripada 262.23 juta unit bernilai RM99.35 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 299.09 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (517.86 juta), pembinaan (214.16 juta), teknologi (263.69 juta), perkhidmatan kewangan (95.39 juta), hartanah (182.18 juta), perladangan (56.81 juta), amanah pelaburan hartanah (13.96 juta), dana tertutup (6,100), tenaga (251.74 juta), penjagaan kesihatan (285.65 juta), telekomunikasi dan media (26.14 juta), pengangkutan dan logistik (39.72 juta), utiliti (42.44 juta), dan amanah perniagaan (352,100).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan