PASARAN > BERITA

RINGGIT DIBUKA TINGGI BERBANDING MATA WANG UTAMA SUSULAN JANGKAAN HARAPAN KETEGANGAN MEREDA

02/04/2026 09:26 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada Khamis, disokong optimisme bahawa ketegangan geopolitik mungkin semakin reda, walaupun sentimen pasaran keseluruhan kekal berhati-hati.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.0170/0370 berbanding dolar AS daripada paras 4.0240/0295 ketika ditutup semalam.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata tumpuan kini terarah kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang dijadual berucap pada 9 pagi waktu Malaysia, dengan jangkaan beliau akan memberi isyarat bahawa konflik di Asia Barat mungkin berakhir.

“Pasaran akan meneliti kejelasan mengenai syarat usaha meredakan ketegangan dan, paling penting, pembukaan semula Selat Hormuz yang kekal menjadi laluan utama aliran tenaga global serta kestabilan pasaran secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berpendapat bahawa dolar yang lemah bersama harga emas yang kukuh menunjukkan pelabur masih cenderung kepada aset selamat berbanding kembali sepenuhnya kepada aset berisiko, sekali gus mencerminkan keyakinan yang masih berhati-hati dan belum benar-benar kukuh.

Sementara itu, ringgit turut dibuka lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3430/3696 daripada 5.3507/3580 ketika ditutup pada Rabu, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5309/5436 daripada 2.5358/5394, dan naik berbanding euro kepada 4.6553/6785 daripada 4.6666/6730 sebelum ini.

Pada masa sama, mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1305/1465 daripada 3.1369/1414 ketika ditutup pada Rabu, naik sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.67/6.71 daripada 6.68/6.69 semalam, dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 236.5/237.8 daripada 236.9/237.3 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.3126/3823 daripada 12.2726/2926 ketika ditutup semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan