POLITIK > BERITA

PERATUSAN KELUAR MENGUNDI PRK MAHKOTA MEMUASKAN - DAP JOHOR

01/10/2024 06:59 PM

JOHOR BAHRU, 1 Okt (Bernama) -- Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Sabtu lepas adalah pada tahap memuaskan walaupun sekadar merekodkan 53.84 peratus.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata gerak kerja kempen Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi berjaya menarik masyarakat Cina untuk turut keluar mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya tersebut.

“Sepanjang kempen, kami berjaya meyakinkan ramai pengundi bahawa satu undi untuk calon BN Syed Hussien Syed Abdullah ialah undi untuk Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Malah, pengundi Cina yang kebanyakannya merupakan penyokong PH telah memberikan sokongan padu kepada BN dalam PRK Mahkota,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Liew yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri bagaimanapun berkata pada awalnya PH Johor sedar terdapat kemungkinan peratusan keluar mengundi dalam PRK berkenaan rendah berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Anggaran awal ialah pengundi Cina tidak akan keluar mengundi atas beberapa faktor, termasuk marah dan kecewa dengan perbalahan antara Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.

“Namun, kami tetap yakin kempen menyeluruh akan dapat memujuk pengundi Cina yang disasarkan mencapai 50 peratus, walaupun ada yang menaruh harapan ia dapat mencapai 55 peratus tetapi itu sukar menjadi kenyataan," katanya.

Menurut Liew yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri antara sebab peratusan mengundi kurang ialah pemilih muda tidak pulang menunaikan tanggungjawab mereka kerana bekerja di luar daerah terutamanya di Singapura dan Kuala Lumpur.

“Selain itu, saya sendiri telah menemui beberapa pengundi muda yang tidak tahu mereka berhak mengundi. Ramai antara mereka yang masih tidak menyedari tentang pendaftaran secara automatik pengundi apabila mencapai usia 18 tahun,” katanya.

BN mempertahankan kerusi DUN Mahkota pada PRK itu apabila Syed Hussien yang mewakili Kerajaan Perpaduan memperoleh kemenangan bergaya dengan majoriti besar 20,648 undi, jauh meninggalkan pencabar daripada Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar meraih 7,347 undi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan