KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada empat keluarga daripada kategori miskin tegar di Parlimen Tambun hari ini, sebagai usaha membantu mereka keluar sepenuhnya daripada kemiskinan tegar.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam siri Ziarah MADANI bagi mengurangkan beban keluarga berkenaan.
“Setiap keluarga ini menghadapi cabaran yang berbeza, ada yang bekerja tetapi tidak mempunyai pendapatan tetap, ada yang terpaksa menjaga ahli keluarga OKU, ada yang menguruskan ibu bapa yang uzur dan ada juga yang perlu menanggung kos perubatan anak yang sakit.
“Namun kesemuanya berkongsi satu keperluan yang sama, iaitu sokongan dan bantuan untuk keluar daripada kitaran kemiskinan tegar,” kata Ahmad Farhan dalam hantaran menerusi Facebook hari ini, yang turut dikongsikan Anwar.
Beliau berkata hasil koordinasi bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), keempat-empat keluarga itu kini telah keluar daripada kategori miskin tegar setelah menerima bantuan bulanan, dengan pendapatan melebihi RM312 sebulan.
Ahmad Farhan berkata mereka turut menerima bantuan daripada Zakat Negeri Perak dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Beliau berkata usaha tersebut bukan sekadar bantuan sementara, tetapi satu langkah konkrit untuk memastikan mereka dapat berdikari dan membina kehidupan yang lebih baik.
“Kerajaan MADANI komited untuk terus membantu golongan yang memerlukan, agar tiada siapa yang tercicir dalam usaha membasmi kemiskinan tegar di negara ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial