KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini menekankan kepentingan parti itu untuk terus komited dalam memupuk bakat-bakat muda bagi memastikan kesinambungan kejayaan parti.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata PKR mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam melahirkan pemimpin muda, kebanyakannya menceburi politik pada usia yang awal dan sejak itu menimba pengalaman berharga.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri dan Presiden PKR) sering menyebut bahawa beliau mampu memupuk pemimpin baharu seperti kami - Rafizi (Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli), saya sendiri, Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang), Amirudin (Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari), Nurul Izzah Anwar, dan Datuk Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi).
“Kami kini sudah berumur dalam lingkungan 40an, kebanyakannya menjadi wakil rakyat pada umur 20an,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Kelab Concorde di Wisma Bernama hari ini.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu mengaku bahawa semasa di peringkat awal karier politiknya, memang terdapat kekurangan calon, yang mendorong pemimpin muda seperti beliau dan Amirudin untuk bangkit dan memikul tanggungjawab.
“Tetapi cabaran sekarang ialah ‘apa seterusnya’? Sebelum ini saya dan Amir ke hadapan kerana tidak cukup calon. Itulah realitinya.
"Sekarang ada ramai yang ingin bertanding. Bagaimana cara untuk kita mengelak daripada menjadi mangsa kejayaan kita sendiri? Inilah sebabnya mengapa adalah penting untuk terus menarik golongan muda profesional Malaysia yang idealistik, berbakat, ke dalam parti," katanya.
Terdahulu, Nik Nazmi bersama empat penyandang lain - Amirudin, Chang, Nurul Izzah, dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, mengesahkan hasrat mereka untuk mempertahankan jawatan naib presiden dalam pemilihan parti yang dijadualkan pada 24 Mei ini.
Selain itu Fahmi, yang merupakan ketua penerangan PKR, dan Timbalan Ketua Penerangan 1 Datuk Seri R. Ramanan juga telah mengumumkan pencalonan mereka untuk jawatan naib presiden.
Kelab Concorde merupakan perkumpulan tidak rasmi wartawan tempatan dan asing yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Kabinet dan wakil rakyat setiap bulan, dan sesi perjumpaan itu dipengerusikan oleh Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.
Turut hadir pada sesi hari ini ialah Wong dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial