POLITIK > BERITA

PRK AYER KUNING: AMH RANGKA STRATEGI TARIK SOKONGAN PENGUNDI MUDA

24/03/2025 06:51 PM

TAPAH, 24 Mac (Bernama) -- Angkatan Muda Harapan (AMH) merangka strategi bagi memastikan undi golongan muda berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning. 

Ketua AMH Woo Kah Leong berkata sayap gabungan Pakatan Harapan (PH) itu akan menggerakkan seluruh kekuatan untuk memastikan kerusi DUN Ayer Kuning kekal milik BN. 

"Kita sudah ada kerangka atau strategi hasil daripada mesyuarat yang diatur sebelum ini antara kedua-dua jentera dari PH dan BN yang akan bekerja dalam satu pasukan untuk gerak kerja di Ayer Kuning. 

"Formula yang digunakan adalah perpaduan untuk semua dan bukan hanya bergerak secara berasingan malah kami akan bergerak dalam satu naratif yang sama bagi memenangkan calon Kerajaan Perpaduan," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Penerangan AMH Ammar Atan dan Pengarah Pilihanraya AMH PRK Ayer Kuning Khairol Najib Hashim yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak. 

Sementara itu, Khairol Najib berkata pihaknya akan memantapkan strategi kempen secara dalam talian kerana ia bersifat masa nyata, cepat dan mudah sampai kepada golongan sasar, khususnya pengundi muda yang berada di luar kawasan. 

"Dalam konteks demokrasi digital, media baharu menjadi alat penting yang digunakan untuk memenangi hati dan mencorak persepsi pengundi berusia 18 hingga 40 tahun. 

"Selain pengundi luar, kita juga akan memberi fokus kempen untuk memastikan ahli dan penyokong parti gabungan mengundi calon Kerajaan Perpaduan pada hari mengundi 26 April ini," katanya.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan lebih 80 peratus pengundi akan keluar mengundi dan pengundi luar balik ke kampung halaman untuk mengundi serta yakin sasaran itu dapat direalisasikan.

"Saya yakin pengundi luar akan balik menunaikan kewajipan mereka memandangkan tarikh pilihan raya berlaku selepas Aidilfitri malah jarak juga tidaklah begitu jauh bagi mereka yang menetap di Kuala Lumpur ataupun Pulau Pinang," katanya. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan