POLITIK > BERITA

PRK AYER KUNING: JENTERA BN DIINGATKAN TIDAK PANDANG RENDAH SAINGAN LAWAN

12/04/2025 05:11 PM

REMBAU, 12 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mengingatkan jentera parti berkenaan supaya tidak memandang rendah keupayaan calon parti lawan bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata jentera parti itu perlu bekerja keras bagi menyantuni seramai mungkin pengundi di DUN berkenaan.

“Kita tak boleh memandang rendah walaupun atas kertas mungkin BN menang, tetapi kita masih perlu bekerja keras dan menyusun gerak kerja jentera parti,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Luar dan Parlimen Rembau di Kampung Tanjung, Rantau di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad memohon maaf kerana tidak dapat bersama kepimpinan parti pada hari penamaan calon PRK Ayer Kuning hari ini susulan penganjuran rumah terbuka berkenaan.

PRK DUN itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan pengundian awal pada 22 April. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan