TAPAH, 15 April (Bernama) -- Sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dirancang untuk diwujudkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir berkata usaha berkenaan sebelum ini telah dimulakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Mohamad Yusri yang pernah menjadi guru dan pensyarah, berkata beliau akan berusaha merealisasikan perkara berkenaan sekiranya diberikan mandat oleh pengundi pada 26 April ini.
“Perkara ini sudah ada dalam perancangan, kita akan usahakan supaya institusi pendidikan ini menjadi antara agenda penting untuk kita mengubah kualiti hidup masyarakat terutamanya di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas berkunjung ke Pasar Awam Ayer Kuning di sini hari ini.
Turut serta Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan.
Mengulas perkembangan kempennya yang memasuki hari keempat hari ini, Mohamad Yusri berkata beliau telah menemui lebih 50 peratus pengundi kawasan Ayer Kuning.
Beliau berkata strategi berkempen secara turun padang dan mendengar permasalahan komuniti setempat terbukti berkesan dalam mendekati pengundi dan menyampaikan mesej BN.
“Sokongan pengundi dilihat positif daripada semua kaum, khususnya pengundi bukan Melayu yang semakin terbuka menerima perjuangan BN,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Feb, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April, sementara pengundian awal pada 22 April.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial