POLITIK > BERITA

PRK AYER KUNING: TINDAKAN PN GUNA GAMBAR TANPA IZIN TIDAK PROFESIONAL - WAN ROSDY

15/04/2025 05:45 PM

TAPAH, 15 April (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan tindakan Perikatan Nasional (PN) menggunakan gambar seorang ahli UMNO dalam bahan kempen tanpa kebenaran sebagai cubaan mengelirukan rakyat.

Menteri Besar Pahang itu berkata ia juga bukti jelas pembangkang tidak profesional selain mencerminkan kegagalan mereka untuk mengetengahkan idea dan perancangan sendiri bagi memenangi hati pengundi.

“Belum dipilih lagi sudah cuba mengelirukan rakyat menggunakan cara yang jelas bertentangan dengan peraturan-peraturan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi Simpang Tiga bersama calon Barisan Nasional Dr Mohamad Yusri Bakir di sini hari ini.

Beliau berkata setiap penggunaan gambar, nama dan lambang berkaitan mana-mana individu atau parti sepatutnya mendapat kebenaran terlebih dahulu selaras dengan etika serta peraturan kempen pilihan raya.

Jurucakap polis Perak bagi PRK DUN Ayer Kuning SAC Zaharudin Rasip pula memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 42 tahun yang mendakwa gambar suaminya bersama calon PN dicetak menjadi poster tanpa kebenaran dan digunakan dalam kempen.

PRK DUN Ayer Kuning, yang diadakan susulan kematian Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, Abd Muhaimin dan calon PSM Bawani KS.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 April sebagai hari mengundi bagi PRK itu manakala pengundian awal pada 22 April ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan