TAPAH, 21 April (Bernama) -- Seramai 500 anggota polis bersama pasangan masing-masing akan mengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, esok.
Penolong Pegawai Pengurus (Undi Awal) PRK tersebut, Mohammad Shahir Mohammad berkata sebanyak tiga saluran akan dibuka di dua pusat pengundian, iaitu Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, dan Dewan Rekreasi APR Transit, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.
Beliau berkata pusat pengundian awal di Batalion 3 PGA dibuka mulai 8 pagi hingga 5 petang, manakala pengundian di IPD Tapah akan ditutup pada pukul 12 tengah hari.
“Proses pengundian awal esok akan melibatkan seramai 18 petugas, termasuk tiga anggota polis pengiring,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan semakan peralatan dan peti undi awal di pusat pengumpulan undi di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Mohammad Shahir berkata sebanyak 82 anggota polis akan mengundi secara pos.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas.
PRK tersebut menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial