POLITIK > BERITA

KERJASAMA POLITIK GRS-PH LANGKAH TEPAT WUJUDKAN KERAJAAN STABIL DI SABAH

08/10/2025 06:03 PM

Oleh Suraidah Roslan

KOTA KINABALU, 8 Okt (Bernama) -- Kerjasama antara parti politik utama seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dilihat sebagai langkah tepat bagi kedua-dua pihak menggabungkan pengaruh serta meraih majoriti selesa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata hanya dengan majoriti kukuh, sebuah kerajaan yang stabil dapat diwujudkan di Sabah seperti diimpikan oleh semua rakyat.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu berpandangan bahawa berdasarkan situasi semasa, parti politik yang bertanding secara solo dijangka sukar memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah iaitu 37 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Justeru, beliau berkata kerjasama politik perlu dimeterai lebih awal.

Ahli akademik itu berkata pembentukan kerajaan gabungan GRS-PH, jika mendapat mandat rakyat pada pilihan raya nanti, merupakan langkah pragmatik untuk menjamin kestabilan pentadbiran dan kesinambungan dasar pembangunan negeri. 

“Oleh itu, pemimpin perlu menunjukkan kematangan politik dengan mengutamakan kepentingan negeri melebihi agenda parti masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Syahruddin juga berkata PRN kali ini dijangka lebih kompleks dengan penyertaan pelbagai gabungan seperti GRS-PH, Barisan Nasional (BN)-PH serta parti tempatan lain seperti Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang bertanding secara solo.

Beliau berkata analisis awal pasukan penyelidik GeoPES (Kajian Pilihan Raya dan Geopolitik Borneo) UMS menunjukkan kebanyakan kerusi dijangka menyaksikan perbezaan undi yang agak tipis susulan persaingan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Dengan dinamik politik yang berubah, termasuk perpecahan dalam kalangan parti tempatan dan kehadiran GRS-PH serta BN, undi dijangka akan lebih berpecah.

“Pengundi bandar akan menilai calon berdasarkan kualiti individu, bukan hanya parti. Oleh itu, walaupun parti penyandang berpotensi menang, majoriti yang lebih kecil adalah senario yang lebih realistik,” katanya.

Pensyarah Kanan UMS Dr Haryati Abdul Karim pula berkata keputusan GRS mengumumkan kerjasama dengan PH lebih awal adalah tindakan bijak kerana ia menghantar mesej bahawa GRS-PH akan bersama-sama membentuk kerajaan jika gabungan itu diberi mandat oleh rakyat pada PRN17 nanti.

Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu berkata trend semasa menunjukkan tiada pihak yang akan menjadi parti dominan maka langkah terbaik adalah membentuk kerajaan melalui pakatan parti-parti politik yang boleh bekerjasama.

Beliau berpandangan bahawa sekiranya GRS bergerak secara solo, parti itu mungkin berdepan cabaran sukar untuk menang susulan pelbagai isu yang masih membelenggu rakyat termasuk masalah infrastruktur asas seperti bekalan air yang belum diselesaikan.

“Tindakan memilih untuk bekerjasama dengan PH, yang mewakili parti nasional seperti PKR dan DAP, akan terus memelihara hubungan baik antara negeri dan Persekutuan,” katanya.

Haryati juga berkata hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di Sabah dapat diteruskan sekali gus memastikan rakyat negeri itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini berkata hubungan erat antara negeri dan Persekutuan amat penting bagi melonjakkan kemajuan Sabah.

Justeru, beliau berkata kerjasama mantap yang terjalin kini perlu dikekalkan dan diteruskan pada masa hadapan terutama melalui kerjasama GRS-PH.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan