POLITIK > BERITA

PRN SABAH: WANITA PKR SASAR 30 PERATUS PENYERTAAN WANITA, KETENGAH CALON BERKALIBER

11/10/2025 04:51 PM

NIBONG TEBAL, 11 Okt (Bernama) -- Wanita PKR telah mengemukakan senarai nama calon termasuk muka baharu kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk dipertimbangkan bagi bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.

Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek berkata calon wanita yang diketengahkan kali ini mempunyai pengalaman luas, latar belakang kukuh serta hubungan rapat dengan masyarakat setempat.

“Pastinya mereka yang dipilih ini mendapat mandat dan sokongan parti. Sudah tentu mereka calon yang boleh menang untuk pilihan raya negeri yang akan datang, Insya-Allah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Projek Penempatan Semula Penduduk Ladang Byram yang dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata Wanita PKR menyasarkan sebanyak 30 peratus calon dalam kalangan wanita dipilih untuk bertanding pada PRN berkenaan.

“Wanita PKR mengekalkan sasaran 30 peratus seperti kebiasaan. Kita yakin calon-calon ini telah bekerja keras, banyak menyumbang kepada komuniti dan masyarakat serta layak diketengahkan sebagai calon,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan kemenangan calon parti, seluruh jentera Wanita PKR kini berada dalam fasa akhir persiapan menjelang penamaan calon.

“Seperti yang diketahui, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah dibubarkan dan ketika ini seluruh jentera wanita, khususnya Wanita PKR, sedang melakukan persiapan termasuk memastikan kemenangan calon-calon parti.

“Jentera kita sedang diperkukuh dan akan digerakkan di semua kerusi yang telah dikenal pasti. Dari segi sokongan, kita akan beri komitmen sepenuhnya kepada calon-calon parti,” katanya.

Pada 6 Okt lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Okt ini, bagi membincangkan beberapa tarikh penting dan perkara lain berkaitan PRN berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan