PAPAR, 12 Okt (Bernama) -- Kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 penting bagi mengukuhkan muafakat kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam menangani isu melibatkan kedua-dua pihak.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, permuafakatan itu memberi ruang lebih kukuh untuk Sabah memperjuangkan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri serta kadar Pemberian Khas kepada Sabah.
“Kita ambil pendekatan bekerjasama kerana sebahagian besar tuntutan ini berada di bawah bidang kuasa Persekutuan dan memerlukan kesepakatan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Kita mempunyai wakil dalam Kerajaan Persekutuan, jadi saya optimis dengan kepimpinan kerajaan ketika ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau di Dewan Ulu Sapat, di sini, hari ini.
Armizan, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata beliau melihat komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menunaikan tuntutan di bawah MA63, termasuk kenaikan kadar Pemberian Khas Sabah yang ditingkatkan kepada RM600 juta.
Beliau berkata ketika pentadbiran Warisan, kadar itu hanya meningkat daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta, satu angka yang masih jauh daripada tuntutan 40 peratus hasil negeri.
“Jumlah ini amat kecil jika dibandingkan dengan tempoh 45 tahun tanpa semakan, apatah lagi amat jauh daripada kadar 40 peratus,” katanya.
Armizan turut mengesahkan bahawa isu MA63 akan menjadi antara teras manifesto GRS pada PRN Sabah nanti.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Papar itu mengingatkan jentera parti supaya memberikan penerangan tepat kepada rakyat agar pembangkang, khususnya Parti Warisan (Warisan), tidak memanipulasi isu 40 peratus hasil dan MA63, sedangkan ketika berkuasa mereka tidak menunjukkan ketegasan dalam memperjuangkan perkara berkenaan.
Pada pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri mengumumkan kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM600 juta berbanding RM300 juta pada 2023, sebagai komitmen Kerajaan MADANI untuk mempercepat pembangunan dua wilayah itu selaras semangat MA63.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial