POLITIK > BERITA

PBRS KENAL PASTI KERUSI BERPOTENSI MENANG HADAPI PRN SABAH KE-17

14/10/2025 11:35 AM

LABUAN, 14 Okt (Bernama) -- Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) telah mengenal pasti beberapa kawasan yang dianggap berpotensi dimenangi calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Presidennya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata PBRS telah merancang kerusi-kerusi strategik untuk ditandingi namun enggan mendedahkan jumlah sebenar buat masa ini.

“Kami bersedia menurunkan beberapa calon pada pilihan raya negeri akan datang dan telah mengenal pasti kawasan yang PBRS mempunyai potensi kuat untuk menang.

“Bagaimanapun, jumlah akhir kerusi yang akan kami tandingi masih dalam peringkat dimuktamadkan,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan Persidangan Tuna Labuan di sini malam tadi.

Pilihan raya negeri itu diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah pada 6 Okt lepas, sekali gus membuka laluan bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 diadakan dalam tempoh 60 hari seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri.

Arthur berkata, sebagai parti tempatan, PBRS perlu mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri Sabah bagi memastikan suara dan keperluan rakyat Sabah diwakili dengan baik.

Beliau menegaskan PBRS, sebagai satu daripada parti tempatan tertua di Sabah, memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kehadiran Barisan Nasional (BN) di negeri itu menerusi pendekatan yang lebih bersifat tempatan bagi mencerminkan aspirasi serta kepelbagaian kaum masyarakat Sabah.

“Memperkasakan BN di Sabah bermakna memastikan gabungan itu benar-benar mewakili kepelbagaian kaum, budaya dan komuniti di seluruh negeri, supaya setiap penduduk Sabah berasa mereka termasuk dalam agenda pembangunan,” katanya.

Menurut Arthur, PBRS mempunyai kelebihan tersendiri dalam BN kerana akar umbinya yang kukuh di Sabah serta peranannya yang aktif di peringkat Persekutuan.

“PBRS mempunyai kelebihan sebagai satu daripada parti tempatan tertua yang berakar di Sabah, dan turut memainkan peranan di peringkat Persekutuan.

“Ini memudahkan kami untuk menyuarakan terus keprihatinan Sabah kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan