BAGAN DATUK, 19 Okt (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bagi memastikan tiada pertembungan antara kedua-dua gabungan itu.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bagaimanapun difahamkan rundingan pembahagian kerusi antara PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula di peringkat akhir untuk dimuktamadkan.
“Saya harap pada 15 Nov nanti kita akan tahu jumlah sebenar kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh setiap parti gabungan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Deepavali Bagan Datuk 2025, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN akan mengetengahkan calon boleh menang dengan calon terdiri daripada 80 peratus muka baharu termasuk daripada Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Ini adalah untuk memberi satu signal bahawa BN Sabah sedia menghamparkan perbedaan pada kali ini untuk kita memberikan harapan baharu kepada pengundi-pengundi di Sabah. Kesemuanya (calon BN) 100 peratus anak tempatan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata bagaimanapun pertembungan antara calon BN dan GRS adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, dengan tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal pada 25 Nov.
Mengenai laporan media berhubung kehadiran Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu majlis perasmian kedai emas di Little India, Brickfields di Kuala Lumpur baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata ia adalah perkara biasa.
“Semua orang boleh berkawan tidak kira parti politik, tidak kira kaum dan tidak kira agama dan kami sebagai rakyat Malaysia sangat terbuka, tetapi sebaik-baiknya kita hanya melawan ketika pilihan raya. Selain daripada itu kita mesti terus menyantuni sahabat-sahabat kita,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan Deepavali berupa 2,000 kotak makanan kepada keluarga B40 serta baucar RM100 kepada 703 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Parlimen Bagan Datuk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial