POLITIK > BERITA

HENTIKAN TABUR JANJI KOSONG, RAKYAT MAHUKAN PENYELESAIAN - HAJIJI

19/10/2025 05:52 PM

KOTA KINABALU, 19 Okt (Bernama) -- Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor meminta pihak pembangkang supaya berhenti menabur janji kosong menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 memandangkan rakyat negeri itu ketika ini memerlukan penyelesaian isu, bukannya retorik politik.

Menyifatkan perbuatan pembangkang menabur janji kosong sebagai “penjual ubat” dengan dakwaan mampu menyelesaikan isu air di Sabah dalam setahun, selain kononnya boleh melahirkan 50,000 jurutera dalam jangka masa singkat, Hajiji berkata janji seumpama itu tidak realistik.

  "Cukup-cukuplah ‘menjual ubat’. Berhentilah menjaja ubat, ubat yang hanya mengkhayalkan rakyat yang sebenarnya dahagakan penyelesaian untuk kehidupan lebih baik. Jangan seperti dukun politik, banyak janji tetapi tiada semuanya.

 "Rakyat kini semakin bijak menilai siapa yang mampu mentadbir Sabah dengan baik dan siapa yang hanya mampu menabur retorik dan janji politik," katanya ketika berucap melancarkan jentera parti itu bagi menghadapi PRN Sabah ke-17 di sini hari ini.              

Turut hadir Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Presiden Parti Cinta Sabah Tan Sri Anifah Aman, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Tan Sri Liew Yun Fah.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata kerajaan GRS telah membuktikan keupayaan dan kecekapan dalam membawa Sabah ke tahap pencapaian yang membanggakan selama lima tahun menerajui pentadbiran negeri melalui dasar Hala Tuju Sabah Manju Jaya (SMJ).

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata kerajaan negeri telah merekodkan hasil negeri tertinggi dalam sejarah dengan pertumbuhan pesat dalam sektor perindustrian, pelancongan dan pertanian, di samping memperkasakan pelbagai inisiatif pendidikan dan pembangunan modal insan.

Dalam aspek pembangunan infrastruktur, Hajiji berkata kerajaan Sabah sedang melaksanakan 18 projek air di seluruh negeri bagi menjamin kestabilan bekalan air terawat, termasuk projek loji rawatan air di Tawau dan Papar.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Hajiji berkata GRS mampu meraih kemenangan pada PRN Sabah ke-17 namun meminta jentera parti di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri supaya bekerja keras bagi tujuan itu.

Mengenai pengagihan kerusi, Hajiji berkata semuanya telah diselesaikan dengan baik dengan parti komponen serta rakan kerjasama.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sabah ke-17 pada 15 Nov, manakala undi awal berlangsung 25 Nov dan tarikh mengundi pada 29 Nov.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan