POLITIK > BERITA

BN SUDAH KENAL PASTI CALON UNTUK PRN SABAH – ZAMBRY

03/11/2025 07:01 PM

PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) sudah mengenal pasti calon-calon dari parti itu yang akan diketengahkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata persiapan bagi menghadapi PRN berkenaan juga telah selesai pada peringkat parti, termasuk perbincangan bersama kepimpinan BN Sabah yang mempunyai autonomi tersendiri.

“Pada peringkat Barisan Nasional, saya boleh sebutkan bahawa persiapan sudah disiapkan dan kita hanya tunggu masa untuk mengumumkan nama-nama calon.

“Insya-Allah, kita menjangkakan Yang Amat Berhormat (Pengerusi BN) bersama pimpinan Sabah akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Festival Idea Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata pihaknya dijangka mengumumkan nama calon dan kerusi yang akan ditandingi seminggu sebelum hari penamaan calon.

Beliau turut memaklumkan bahawa BN tidak akan bertanding di semua 73 kerusi DUN, sebaliknya akan meneliti kawasan yang akan diberi fokus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah, manakala penamaan calon pada 15 Nov dan pengundian awal pada 25 Nov.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan, manakala enam lagi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan