SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) -- Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) sedang bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk merangka satu rang undang-undang yang mewajibkan parti politik mencalonkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam pilihan raya.
Ketuanya Datuk Aiman Athirah Sabu berkata perkara itu sedang diperhalusi bersama beberapa NGO terlibat sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hal Ehwal Wanita pada Selasa depan.
Beliau berkata inisiatif itu sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem politik inklusif dan memastikan penyertaan wanita dalam proses demokrasi negara tidak lagi bergantung kepada komitmen lisan semata-mata.
“Kita bukan sekadar perlukan peluang, tetapi eksosistem yang menyokong wanita dalam politik. Pindaan atau pengenalan RUU (rang undang-undang) ini akan menjadi asas kukuh kepada dasar dan perundangan untuk menjamin penyertaan wanita secara mampan,” katanya pada sidang media selepas perasmian Konvensyen AWAN Nasional yang disempurnakan oleh Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar di sini hari ini.
Konvensyen bertemakan “Wanita Negara Peneraju Perubahan: Memimpin Dengan Hikmah, Membina Masa Depan” itu dihadiri 700 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.
Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kertas cadangan yang sedang dirangka itu bukan sekadar menetapkan kuota calon wanita, tetapi turut melibatkan mekanisme insentif kepada parti-parti politik yang berjaya mencapai sasaran berkenaan.
Beliau berkata Malaysia perlu melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan undang-undang mengikat, bukan lagi sekadar bergantung pada dasar afirmatif berusia lebih tiga dekad tetapi masih belum mencapai matlamat 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan seperti yang disasarkan.
“Kita boleh melihat Rwanda sebagai contoh berjaya mencapai 60 peratus perwakilan wanita melalui pengenalan undang-undang yang tegas, manakala Malaysia yang sudah menetapkan dasar 30 peratus wanita selama 30 tahun masih gagal, menuntut kita mengambil langkah serupa melalui undang-undang yang mengikat,” katanya.
Ketua Wanita Pakatan Harapan itu turut mengumumkan komitmen untuk meningkatkan jumlah calon wanita Amanah kepada 50 peratus dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
“Pada peringkat AWAN dan parti Amanah, kita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas telah menampilkan 26 peratus calon wanita, iaitu jumlah tertinggi antara parti komponen Pakatan Harapan dan Barisan Nasional,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial