MENUMBOK, 6 Nov (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengumumkan senarai calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 12 Nov ini, kata Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata tarikh itu adalah tiga hari sebelum hari penamaan calon pada 15 Nov.
DAP dan PKR daripada Pakatan Harapan masing-masing dijadualkan mengumumkan calon mereka pada 8 dan 9 Nov ini.
“Kami sudah agih kerusi, jadi dia mahu umum, dia umumlah dia punya, kami akan umum kemudian. Kami akan umumkan pada 12 Nov nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas melancarkan Buku Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025-2035 di Tapak Tamu Pekan Menumbok di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut dilaporkan berkata pihaknya dijangka mengumumkan nama calon dan kerusi yang ditandingi seminggu sebelum hari penamaan calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov serta tarikh pengundian awal 25 Nov.
Sementara itu, Hajiji menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan GRS untuk kembali mentadbir negeri berkenaan selepas PRN Sabah ke-17 pada 29 Nov ini berdasarkan kekuatan calon yang dipertaruhkan.
“Kami hanya letak calon yang boleh menang termasuk di Kuala Penyu ini, calonnya saya sudah bagi ‘hint’ tadi dan kami yakin menang pada pilihan raya ini.
“Kalau menang kami akan teruskan pelan pembangunan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 untuk kesinambungan program pembangunan di Sabah,” katanya.
Sementara itu, di TAWAU, Timbalan Pengerusi DAP Datuk Chan Foong Hin berkata parti itu akan bertanding lapan kerusi pada PRN Sabah ke-17.
Beliau berkata enam daripada kerusi berkenaan ialah yang dimenangi parti itu pada PRN Sabah ke-16 dan dua lagi iaitu kerusi Tanjung Aru dan satu kerusi di kawasan pedalaman, namun enggan menamakan kerusi berkenaan.
Chan berkata demikian selepas merasmikan program santuni pekebun kecil sawit di sini hari ini.
Enam kerusi yang dimenangi DAP Sabah pada PRN Sabah ke-16 adalah Luyang, Likas, Kepayan, Elopura, Sri Tanjong serta Tanjung Papat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial