POLITIK > BERITA

SABAH KEKAL KOMITMEN DENGAN PUTRAJAYA SEIRING PERJUANGAN HAK MA63 - GRS

07/11/2025 09:25 PM

KOTA KINABALU, 7 Nov (Bernama) -- Sabah akan terus mengekalkan hubungan kerja yang konstruktif dan penuh hormat dengan Putrajaya, sekali gus memperjuangkan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Majlis Presiden GRS dalam kenyataan memaklumkan mereka turut berdiri teguh dan menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, malah berbangga dengan pencapaian beliau mengangkat martabat negara di persada antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, pendekatan Perdana Menteri yang berteraskan keterangkuman, keterbukaan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat Sabah amat dihargai, dengan kerajaan Sabah pimpinan GRS berjaya memperoleh 13 daripada 29 tuntutan MA63 daripada kerajaan Persekutuan.

“Dalam hal ini, kami memberi jaminan kepada Perdana Menteri bahawa di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Sabah akan terus mengekalkan hubungan kerja yang konstruktif dan penuh hormat dengan Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

Majlis Presiden GRS menegaskan semula tekad mutlak dan tidak berkompromi dalam memperjuangkan, bagi pihak lebih tiga juta rakyat Sabah, segala manfaat dan hak di bawah Perlembagaan Persekutuan serta MA63.

Beliau berkata susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini berkenaan 40 peratus hak Sabah, Ketua Menteri telah mengarahkan Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi Sabah (EPU) dan Jabatan Peguam Besar Negeri meneliti dengan terperinci alasan penghakiman itu.

Kerajaan negeri juga bersedia mengadakan rundingan bermakna dengan kerajaan Persekutuan selaras dengan perintah mahkamah bagi melaksanakan semakan dan memuktamadkan perjanjian mengenai jumlah yang sewajarnya diterima oleh Sabah.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan