KOTA KINABALU, 7 Nov (Bernama) -- Pengundi belia dijangka menjadi faktor penentu kemenangan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Pengerusi IDE Research Centre Senator Prof Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.
Beliau berkata berdasarkan kajian pihaknya, kira-kira 27 peratus pengundi di Sabah terdiri daripada golongan atas pagar dan pilihan mereka lebih bergantung kepada tawaran masa depan yang diyakini, bukan kesetiaan terhadap mana-mana parti.
“Tempoh dua minggu ini cukup penting dan kritikal, setiap parti bertanding perlu memberikan naratif menyakinkan kepada golongan belia.
“Generasi muda tidak ada loyalty, mereka tiada ketaatan menyokong parti kerana ayah mereka menyokong sekian parti. Bukan begitu,” katanya pada sidang media mengenai Kajian Landskap Persepsi Rakyat Untuk Kesejahteraan dan Pembangunan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.
Kajian bertemakan “Nadi Sabah 2025 - Suara Rakyat Menjelang PRU DUN Sabah Ke-17” itu dijalankan dengan kerjasama kumpulan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pertubuhan Penyelidikan Sosial dan Komuniti (PPSK).
Antara penyelidik terlibat Prof Dr Abdullah Bade dari Fakulti Sains dan Teknologi UMS, Prof Dr Murnizam Halik dari Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial UMS, Pengarah Eksekutif IDE Amidi Abdul Rahman, Pengarah Penyelidikan & Analitik IDERC Khairul Arifin Mohd Munir dan Pengarah Data Analitik IDERC Kamarul Bahrin Zahid.
Mohammad Redzuan berkata dalam usaha meraih undi belia, parti politik perlu memberi perhatian kepada isu-isu berkaitan golongan muda dan bagaimana mereka menangani isu-isu itu akan menjadi penentu kepada kecenderungan pengundi atas pagar.
“Tempoh kempen hanyalah satu mekanisme namun bagaimana meyakinkan pengundi ke peti undi dan mengundi sesebuah parti, itulah yang akan menentukan kemenangan calon parti berkenaan,” katanya.
Beliau berkata kajian bersemuka dilakukan di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah melibatkan semua peringkat umur, jantina dan kaum bermula 21 hingga 29 Ogos lepas sebagai survei utama, diikuti tinjauan lapangan dari Ogos hingga 1 Nov lepas melibatkan 2,488 responden.
Mohammad Redzuan berkata hasil kajian mendapati 66.5 peratus responden memilih berdasarkan calon, manakala 33.5 peratus berasaskan parti politik.
“Faktor calon akan merujuk kepada beberapa perkara utama iaitu sumbangan calon kepada masyarakat setempat dan personaliti calon. Bagi yang memilih parti politik sebagai asas pengundian akan meletakkan faktor dasar perjuangan parti dan prestasi parti serta pengaruh parti kepada keluarga, rakan dan komuniti sebagai asas pilihan,” katanya.
Kajian itu juga mengenal pasti tiga isu tempatan utama yang menjadi keprihatinan pengundi Sabah iaitu gangguan air dan elektrik, masalah jalan raya serta infrastruktur, kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.
“Namun begitu, rata-rata rakyat Sabah mengiktiraf usaha-usaha kini yang sedang digerakkan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sebagai suatu sinergi utama untuk memastikan ia dapat direalisasikan dan diperbaiki secara berperingkat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial