POLITIK > BERITA

PRN SABAH: BN UMUM 41 CALON, GANDINGAN MUKA BAHARU DAN LAMA

09/11/2025 09:31 PM

KOTA KINABALU, 9 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini mengumumkan 41 calon parti itu, kebanyakannya muka baharu dan calon muda selain mengekalkan beberapa pemimpin berpengalaman untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17. 

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata calon-calon yang dipilih mencerminkan sebuah tawaran menyeluruh untuk memastikan Sabah bergerak ke hadapan dengan lebih tersusun, makmur dan inklusif.

"BN Sabah yakin kesepaduan antara pemimpin berpengalaman dengan muka baharu serta calon muda berkelayakan tinggi akan memberi kelebihan besar untuk membawa Sabah menuju masa hadapan yang lebih cerah dan berdaya saing," katanya ketika mengumumkan senarai calon BN untuk PRN ke-17 di sini hari ini.

Bagaimanapun, Bung Moktar berkata calon yang diumumkan hari ini bukanlah muktamad, sebaliknya tertakluk kepada perkembangan semasa dan beberapa lagi nama akan diumumkan kemudian.

Beliau berkata barisan calon yang diketengahkan juga diperkukuh dengan tahap pendidikan yang tinggi, majoritinya mempunyai ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah dengan dua antaranya ialah doktor perubatan.

Bung Moktar berkata pemilihan itu membuktikan bahawa calon-calon yang ditawarkan bukan sahaja berpengalaman, tetapi juga berkualiti dari segi intelektual dan profesional, malah mampu menerajui agenda ekonomi, teknologi serta pembangunan sosial negeri dengan lebih kompeten dan berwibawa.

"Barisan calon ini akan membawa komitmen berterusan BN untuk memacu pembangunan Sabah bermula dengan membangunkan luar bandar dan infrastruktur, membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat serta memperkasakan sistem pendidikan dan modal insan. Ia selari dalam semangat untuk terus menjamin kesaksamaan wilayah selaras dengan roh MA63," katanya.

Pengumuman hari ini menyaksikan lima penyandang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, iaitu Datuk Harun Durabi (Bengkoka), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (Usukan), Datuk Yakub Khan (Karambunai),  Datuk Jafry Ariffin (Sukau) selain Bung Moktar di Lamag.

Sementara itu, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan serta Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup akan bertanding kerusi DUN buat kali pertama, masing-masing di Tempasuk dan Sook.

Datuk Mohamad Alamin yang juga Timbalan Menteri Luar pula akan bertanding semula di DUN Bongawan selepas tewas pada 2018 manakala bekas pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Bolkiah Ismail dinamakan calon kerusi Pitas.

Berikut senarai calon BN pada PRN Sabah ke-17 yang diumumkan hari ini: 

 

N1 Banggi                            Normalah Rasik

N2 Bengkoka                       Datuk Harun Durabi

N3 Pitas                               Datuk Bolkiah Ismail

N4 Tanjung Kapur                Kevin Lee Sip Kin

N8 Pintasan                         Tadzul Radim

N9 Tempasuk                       Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan

N10 Usukan                         Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak

N12 Sulaman                       Dr Shahnon Rizal Thaijuddin

Ν13 Pantai Dalit                   Alfian Sambas

N16 Karambunai                  Datuk Yakub Khan

N17 Darau                            Arfansyah Abdul Gafar

N24 Tanjung Keramat          Jeffery Noor Mohamed

N28 Kawang                        Datuk Jamal Norubit

N29 Pantai Manis                Redzuan Ismail

N30 Bongawan                    Datuk Mohamad Alamin

N31 Membakut                    Rusman Dulamit

N32 Klias                             Osin Jilon

N33 Kuala Penyu                 Datuk Awang Aslee Laka

N34 Lumadan                      Datuk Mohd Nazri Abdullah

N36 Kundasang                   Japirin Sahadi

N37 Karanaan                      Nadzmin Kamin

N38 Paginatan                     Datuk Jemadi @ Junaidi Sahat

N41 Liawan                          Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi

N45 Sook                             Datuk Seri Arthur Joseph Kurup

N46 Nabawan                      Laiji Ompongoh

N47 Telupid                          Benedict Asmat

N48 Sugut                            Mohammad Arifin Pachuk

N49 Labuk                           Yusuf Latif

N51 Sungai Manila              Zaini Tiksun

N52 Sungai Sibuga             Datuk Suhaimi Nasir

N53 Sekong                        Mohd Zharif Aizat Samsuddin

N58 Lamag                         Datuk Seri Bung Moktar Radin

N59 Sukau                          Datuk Jafry Ariffin

N60 Tungku                        Saleha Wahid

N62 Silam                           Sharif Musa Sharif Mabul

N63 Kunak                          Datuk Seri Anil Jeet Singh

N66 Bugaya                        Abdul Manan Indanan

N67 Balung                         Erwan Palateh

N68 Apas                            Dr Elmiariezan Ardan

N71 Tanjung Batu               Samasuddin Yusop

N73 Sebatik                        Aslan Fadli Samsul Alang

 

Dalam sidang media kemudian, Bung Moktar berkata BN Sabah akan mengumumkan lima hingga enam kerusi lagi, yang disifatkannya sebagai ‘kerusi istimewa’ dengan calon diketengahkan ialah muka baharu dan anak muda sebagai sebahagian strategi parti.

Bung Moktar berkata beliau berpuas hati kerana BN Sabah diberi 47 kerusi dan memberi jaminan tidak akan berlaku pertembungan antara parti itu dengan Pakatan Harapan pada pilihan raya berkenaan.

Mengulas mengenai pencalonan Abdul Rahman di DUN Tempasuk, beliau menjelaskan bekas menteri itu mempunyai kelebihan kerana pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud.

Selain itu, BN Sabah mengambil langkah berani menampilkan 85 peratus calon muka baharu termasuk anak muda profesional bagi membuktikan parti itu bersedia membuat perubahan signifikan dalam aspek pembangunan seterusnya mengeluarkan Sabah daripada kepompong kemiskinan.

Langkah itu juga manifestasi untuk memberi peluang kepada kepimpinan muda berganding bahu bersama pemimpin berpengalaman parti, selain memastikan BN seiring dengan tuntutan anak muda berikutan 65 peratus daripada jumlah pengundi di Sabah terdiri dalam kalangan belia.

“Kita beri mereka peluang dan platform untuk bertanding, selepas itu mereka boleh memainkan peranan sebagai wakil rakyat (sekiranya dipilih) untuk membuat dasar bersama demi pembangunan negeri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan