KOTA KINABALU, 10 Nov (Bernama) -- Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan tetap menyokong dua bekas pemimpinnya yang akan bertanding atas tiket PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 kerana mereka adalah calon daripada komponen Kerajaan Perpaduan.
Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Hajiji Noor berkata keputusan Datuk Jamawi Jaafar dan Datuk George Hiew Vun Zin itu merupakan hak demokratik yang harus dihormati.
Hajiji, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata setiap individu bebas memilih parti yang ingin disertai dan perkara itu mencerminkan amalan demokrasi yang sihat di negeri berkenaan.
“Mereka memilih untuk bertanding atas tiket PKR… secara kebetulan, PKR juga merupakan rakan gabungan dalam kerajaan,” kata Ketua Menteri Sabah itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi menandatangani Memorandum Persefahaman antara Sabah dan Maybank bagi membiayai projek Ekonomi Biru, satu inisiatif baharu untuk merancakkan pembangunan sektor ekonomi berasaskan sumber maritim di negeri berkenaan di Menara Kinabalu hari ini.
Hajiji berkata tindakan kedua-dua individu juga tidak menimbulkan sebarang masalah kepada GRS mahupun Gagasan Rakyat kerana ia mencerminkan keunikan dan dinamik politik Sabah.
Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Jamawi dan Hiew masing-masing akan bertanding atas tiket PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap serta Karamunting pada PRN Sabah ke-17.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial