KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa pemimpin parti politik menyerahkan borang pencalonan bagi bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Hajiji menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Seri Sulaman, Tuaran hari ini bagi bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang dimenanginya pada PRN Sabah lepas dengan majoriti 3,099 undi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga penyandang kerusi DUN Lamag dimenanginya dengan majoriti 661 undi pada PRN yang lepas menyerahkan borang pencalonan beliau di Pusat Penamaan Calon Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.
Sementara itu, Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyerahkan borang pencalonan di Dewan Arena Masyarakat, Semporna bagi mempertahankan DUN Senallang dimenanginya dengan 4,631 undi.
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman pula menyerahkan borang pencalonan di Dewan Kesenian Islam, Membakut untuk bertanding buat kali pertama atas tiket GRS di DUN Bongawan.
Beliau tewas bertanding di DUN itu mewakili PCS pada PRN lepas.
Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini, merangkumi 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.
SPR menetapkan hari pengundian PRN Sabah ke-17 pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan pula menyerahkan borang pencalonan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan untuk bertanding di DUN Sook bawah tiket Barisan Nasional (BN).
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyerahkan borang pencalonan di Dewan Masyarakat Tun Said Bin Keruak untuk bertanding di DUN Pintasan bawah GRS.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Peto Galim pula menyerahkan borang pencalonan di Dewan Majlis Kebajikan dan Rekreasi Kakitangan Kerajaan Negeri Sabah (MAKSAK) Kota Kinabalu bagi mempertahankan DUN Inanam menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH).
Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Datuk Ruji Ubii yang kali pertama bertanding pada PRN kali ini di DUN Merotai menggunakan tiket PH telah menyerahkan borang pencalonan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Chin, Tawau.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN mengiringi calon BN Datuk Yakubah Khan yang mempertahankan kerusi DUN Karambunai dan Arfanshah Abdul Gafar bertanding di DUN Darau, menyerahkan pencalonan masing-masing di Pusat Penamaan Calon di Dewan MAKSAK Kota Kinabalu.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pula mengiringi calon parti itu untuk DUN Tanjung Aru Datuk Chan Foong Hin yang mewakili PH di Dewan Seri Putatan, Putatan.
Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming mengiringi calon DUN Sri Tanjong Philip Yap juga mewakili PH di Dewan Komuniti Tawau, Tawau.
Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe pula menyerahkan borang pencalonan di Dewan Menara Hasil, Kota Kinabalu mewakili PH untuk bertanding di DUN Likas buat kali pertama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial