POLITIK > BERITA

PRN SABAH: BN PUNYAI REKOD CEMERLANG BAWA PEMBANGUNAN DI DUN BONGAWAN DAN MEMBAKUT

15/11/2025 07:40 PM

BONGAWAN, 15 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) telah menunaikan tanggungjawab dengan cemerlang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan Membakut di bawah Parlimen Kimanis, dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kedua-dua kawasan itu.

Timbalan Menteri Luar dan calon BN bagi DUN Bongawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 Datuk Mohamad Alamin berkata parti itu mempunyai rekod prestasi yang konsisten terutamanya dalam menyelesaikan isu rakyat berkaitan kemudahan jalan raya dan sekolah daif.

“Telah banyak saya bawakan pembangunan di kawasan Parlimen Kimanis, khususnya di DUN Bongawan termasuk juga di DUN Membakut. Dari segi infrastruktur pembangunan jalan raya umpamanya, Jalan Bukit Mangis, RM126 juta pun diluluskan dan sekarang ini sedang dirancang proses pembangunan jalan itu.

“Ini akan membawa impak yang begitu besar kepada para penduduk di luar bandar. Di kawasan Ulu Kimanis, di kawasan Ulu Bongawan, di kawasan Ulu Membakut. Ini penantian puluhan tahun rakyat. Jadi, saya berjaya membawakan, menyelesaikan isu rakyat ini,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon bagi kerusi DUN Bongawan dan DUN Membakut di Dewan Kesenian Islam Membakut di sini hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata meskipun hanya memegang kerusi Parlimen Kimanis kurang daripada lima tahun, beliau telah berjaya menyelesaikan isu lapan sekolah daif di kawasan berkenaan.

Malah, kebajikan golongan belia turut diberikan penekanan dengan menaik taraf hampir kesemua pusat dan gelanggang sukan.

“Saya sudah buat bertahun-tahun. Mana-mana anak-anak kita yang ingin belajar di universiti, kita berikan bantuan, dana secara sekali beri. Setiap pelajar, tidak kira dia B40, M40, T20. Kita berikan itu dana pendidikan secara sekali beri kepada mereka untuk sekurang-kurangnya meringankan beban kepada anak-anak kita yang mungkin kurang bernasib baik,” katanya.

Pada PRN Sabah ke-17 ini, Mohamad berhadapan persaingan sembilan penjuru termasuk daripada bekas Menteri Luar Tan Sri Anifah Aman mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Anifah pula yakin mampu menambat hati pengundi di DUN Bongawan susulan sokongan yang diterimanya setakat ini.

Bagi menarik perhatian belia, veteran politik itu berkata beliau bersama GRS komited melakukan yang terbaik untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda bagi membantu mereka menyara keluarga.

“Tak perlu mendesak, beri mereka harapan, apa yang kita akan lakukan, apa yang kita akan cari untuk mereka, supaya mereka mampu untuk menjaga keluarga,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan