KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Aspirasi penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog untuk melihat kesinambungan pembangunan dan hala tuju yang stabil diperkukuh oleh komitmen berterusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Sabah.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri R. Ramanan berkata penduduk DUN Moyog, antara kerusi di bawah Parlimen Penampang, menginginkan kepimpinan yang mampu memastikan kebersamaan masyarakat dan pembangunan selaras dengan aspirasi Sabah sebagai negeri berdaya saing serta bermaruah.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata keyakinan tersebut turut dipengaruhi oleh pendekatan Perdana Menteri yang konsisten turun padang ke Sabah, dan setiap lawatan disertai dasar serta komitmen jelas bagi memperkukuh pembangunan rakyat negeri itu.
“Apa yang kita lihat hari ini adalah cerminan kepada keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan MADANI di bawah YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang pemimpin yang bukan sahaja kerap turun ke Negeri Di Bawah Bayu, tetapi setiap kali hadir membawa komitmen dan dasar yang jelas untuk memperkukuh pembangunan Sabah,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Terdahulu, Ramanan mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) Remysta Jimmy Taylor ke pusat penamaan calon di Dewan Kebudayaan Penampang, yang menyaksikan kehadiran hampir 1,000 penyokong dan jentera parti komponen PH.
Ramanan turut merakamkan penghargaan kepada semua jentera akar umbi yang hadir menyempurnakan proses penamaan calon itu.
Kerusi Moyog menyaksikan pertembungan antara calon PKR-PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Selain DUN Moyog, satu lagi kerusi yang menyaksikan saingan sengit di bawah Parlimen Penampang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ialah DUN Kapayan.
Pada dua PRN terdahulu, DUN Moyog dimenangi oleh Warisan melalui Jenifer Lasimbang (2018) dan Derrel Liking (2020).
Medan pertarungan bagi PRN Sabah kali ini membuka gelanggangnya hari ini dengan proses penamaan calon di 25 lokasi bagi merebut 73 kerusi yang dipertandingkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial