KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Bilangan calon Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 melonjak kepada 74 orang berbanding 56 pada pilihan raya sebelumnya.
Jumlah itu menjadikan calon Bebas sebagai entiti terbesar pada PRN kali ini, mengatasi parti politik lain di Sabah.
Secara keseluruhan, seramai 596 individu telah menyerahkan pencalonan mereka hari ini.
Antara ahli politik terkenal tempatan yang memilih bertanding sebagai calon Bebas pada PRN kali ini ialah Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda (DUN Tanjong Kapor) dan bekas Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Fairuz Renddan (DUN Pintasan).
Penyandang DUN Petagas Datuk Awang Ahmad Sah, yang juga Ketua Bahagian PGRS, turut bertanding sebagai calon Bebas di kawasan itu.
Bekas Ketua Sayap Pemuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jordan Jude Ellron juga bertanding sebagai calon Bebas di DUN Tulid manakala bekas Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) serta penyandang DUN Kukusan Datuk Rina Jainal turut bertanding atas tiket Bebas di kawasan itu pada PRN kali ini.
Warisan muncul sebagai parti politik yang meletakkan calon paling ramai iaitu 73 orang manakala Parti Impian Sabah (PIS) pula mencalonkan 72 wakil.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyusul di tempat keempat dengan 53 calon diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 45 calon.
Sementara itu, Perikatan Nasional bertanding di 42 kerusi manakala Pakatan Harapan meletakkan 22 calon di kerusi yang diumumkan selepas proses penamaan calon pagi tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian dan undi awal pada 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial