SUKAN > BERITA

ISU MASA DEPAN CKLAMOVSKI HANYA SPEKULASI LIAR - MOHD YUSOFF

16/11/2025 05:31 AM

BANGI, 15 Nov (Bernama) -- Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi menganggap isu masa depan ketua jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski hanyalah spekulasi liar.

Mohd Yusoff ketika ditanya pemberita bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin itu yang tersebar di media sosial, mendakwa perlawanan kelima Kumpulan F menentang Nepal bagi saingan kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa ini sebagai tugasan terakhir Cklamovski bersama skuad kebangsaan.

“Tiada komen. Spekulasi liar? Saya pun anggap ia liar,” katanya selepas perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja 2025 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, malam ini.

Dalam pada itu, beliau juga mengesahkan FAM telah pun meminta alasan bertulis daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas rayuan mereka ditolak berhubung isu dokumentasi pemain warisan negara.

Beliau juga tidak boleh menjangkakan bila FIFA akan memberikan maklum balas.

“Buat masa ini kami sekadar boleh menunggu sahaja. Selepas itu (terima alasan bertulis dari FIFA) kita ada tempoh 21 hari (bawa kes) ke CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan),” katanya.

FIFA pada 3 Nov lepas menolak rayuan FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu terhadap FAM dan tujuh pemain warisan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 Kod Disiplin FIFA (FDC).

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CFH2,000 (sekitar RM11,000).

Ketujuh-tujuh pemain berkenaan turut digantung selama 12 bulan daripada aktiviti berkaitan bola sepak.

Mengenai final Piala Emas Raja-Raja 2025, Mohd Yusoff menyifatkan edisi ke-103 pertandingan itu tetap meriah meskipun cuaca hujan sepanjang perlawanan, yang menyaksikan Kuala Lumpur muncul juara selepas menang tipis 1-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan