POLITIK > BERITA

ABDUL RAHMAN TARIK DIRI BERTANDING DI TEMPASUK, TIADA ISU DALAMAN BN - AHMAD ZAHID

16/11/2025 03:32 PM

KOTA BELUD, 16 Nov (Bernama) -- Tiada masalah dalaman dalam Barisan Nasional (BN) berhubung keputusan Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menarik diri sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata Abdul Rahman membuat keputusan itu secara terhormat selepas berbincang dengan beliau bagi memberi peluang kepada calon muda yang diketengahkan oleh UMNO Sabah.

“Beliau (Abdul Rahman) telah bertemu dengan saya, sebelum itu beliau menelefon saya untuk memohon penarikan diri. Dua hari lepas pun beliau bersama saya dan juga calon di Tuaran.

“Hari ini saya ke Kota Belud, semalam Abdul Rahman sendiri datang mengiringi calon (di Kota Belud) dan tidak ada sedikit pun permasalahan di dalam BN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Lindung Kerjaya di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Program berkenaan turut dihadiri calon BN bagi kerusi DUN Usukan Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak, calon BN bagi kerusi DUN Pintasan Tadzul Radim serta calon BN bagi kerusi DUN Tempasuk Azuwan Marjan @ Norjan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata keputusan itu membuktikan Abdul Rahman berjiwa besar dan sentiasa mendahulukan kepentingan parti berbanding diri sendiri sekali gus sebagai teladan kepada pemimpin lain dalam memastikan semangat perpaduan dan kekuatan BN terus utuh di Sabah.

“Memang benar, di peringkat awal tawaran telah diberikan kepada Abdul Rahman, tetapi beliau telah menarik diri kerana merasakan peluang harus diberikan kepada anak muda. Jadi saudara Azwan Marjan telah diputuskan oleh UMNO Sabah untuk diketengahkan sebagai calon di Tempasuk.

“Tentunya kita ucapkan terima kasih kepada Abdul Rahman yang telah memberikan peluang ini kepada Azwan. Mudah-mudahan Azwan akan memenangi kerusi Tempasuk ini,” katanya.

Di DUN Tempasuk, penyandangnya Datuk Mohd Arsad Bistari mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ditentang John Samud (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat atau KDM), Dr Rimin Maun (Parti Kebangsaan Sabah atau PKS), Timuti Majitol (Parti Impian Sabah atau PIS), Mohd Khidir Lamsil (Warisan), Walter Mark Mukis (Parti Solidariti Tanah Airku atau STAR) dan Azwan (BN).

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan