POLITIK > BERITA

PRN SABAH: CALON PH BERI KOMITMEN ATASI MASALAH AIR DI DUN SULABAYAN

16/11/2025 12:00 PM

SEMPORNA, 16 Nov (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 Mohd Zulfikar Ab Mijan komited mengatasi masalah bekalan air di DUN berkenaan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mohd Zulfikar, 44, berkata DUN Sulabayan telah lama wujud tetapi masih ketinggalan dari segi kemudahan air bersih.

"Selain itu, kita turut melihat masalah jalan raya yang sempit dan rosak yang tentunya memerlukan sokongan daripada Kerajaan Perpaduan.

"Kita tahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat terutama golongan susah dan DUN Sulabayan ini majoriti penduduknya memang dalam kategori itu," katanya kepada Bernama pada program ceramah umum di Pulau Bum-Bum di sini malam tadi.

Mohd Zulfikar yang juga Presiden Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Semporna berkata isu berkenaan menjadi keutamaan perjuangannya untuk penduduk DUN Sulabayan.

Beliau berkata NGO itu juga akan menjadi platform untuk mendekati golongan belia yang dianggarkan sebanyak 5,000 orang agar turun mengundi pada 29 Nov ini.

Penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah daerah Semporna 2023 itu menggunakan slogan #sinarbaru4Sulabayan yang turut menjadikan media sosial serta bertemu secara bersemuka sebagai pendekatan menyantuni golongan belia di DUN itu yang mempunyai 20,285 pengundi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yakin calon tunggal PH  daripada Amanah itu mampu membawa perubahan kepada infrastruktur di DUN Sulabayan.

Beliau berkata sudah tiba masanya pengundi DUN Sulabayan memberi peluang kepada PH agar pembangunan dapat dibawa kepada penduduk termasuk di Pulau Bum-Bum yang mempunyai tujuh buah kampung.

"Saya fikir ini adalah peluang yang terbaik untuk masyarakat di sini melihat keprihatinan Kerajaan Persekutuan," katanya.

DUN Sulabayan akan menyaksikan pertandingan lapan penjuru termasuk seorang wakil tunggal wanita.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

 

N64: SULABAYAN: SABAH: 20,258

 
1. Sumini Yasintus (PPRS)
2. Mat Roya @ Abdul Mutalib Jaafar (PIS)
3. Abdillah Abdul Hamid (Bebas/IND)
4. Mohd Zulfikar Ab Mijan (PH-Amanah)
5. Datuk Dr Jaujan Sambakong (Warisan)
6. Bidin Jawa (STARSABAH)
7. Hasaman Sagaran (Anak Negeri)
8. Abdul Malik Abd Bool (PN-Bersatu)
 
(2020: Datuk Dr Jaujan Sambakong: Warisan Plus-Warisan: Maj: 3,245)
 
 

--BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan