KOTA BELUD, 17 Nov (Bernama) -- Jentera Barisan Nasional (BN) Johor mampu menggalas amanah membantu kempen parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menerusi semangat muafakat serta kerjasama erat di lapangan.
Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata negeri itu diberi tanggungjawab menyelaras kempen di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak dalam Parlimen Tuaran dan Kota Belud.
Beliau berkata calon-calon yang diketengahkan pucuk pimpinan parti juga cukup baik dan boleh diterima rakyat yang merupakan antara faktor penting untuk mencapai kemenangan.
“Faktor kedua ialah jentera dan di Kota Belud sahaja, jentera BN cukup bersemangat dan saya percaya kita mampu menyantuni pengundi menjelang 29 Nov ini (hari pengundian),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata semangat muafakat yang baik antara semua pihak menjadikan amanah besar itu lebih ringan dalam usaha membantu kemenangan calon BN.
Mengulas strategi kempen, Onn Hafiz berkata fokus utama jentera adalah untuk menyantuni rakyat serta menjelaskan perjuangan BN yang berteraskan pembangunan dan pembelaan rakyat Sabah.
“Perjuangan kita sudah semestinya untuk terus membela rakyat Sabah, membangunkan negeri yang mereka cintai ini. Insya-Allah,” kata Menteri Besar Johor itu.
Mengakui cabaran utama ialah tempoh kempen yang singkat serta keluasan kawasan, beliau optimis pengalaman calon-calon BN serta kecekapan jentera parti mampu memastikan setiap pengundi dapat didekati dengan berkesan.
Parlimen Kota Belud mempunyai empat DUN iaitu Pintasan, Tempasuk, Usukan dan Kadamaian, manakala Parlimen Tuaran juga mempunyai empat DUN iaitu Kiulu, Tamparuli, Pantai Dalit dan Sulaman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian, manakala undi awal pada 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial