POLITIK > BERITA

CALON SILAM TARIK DIRI ELAK PERTEMBUNGAN, TINGKAT PELUANG RAKAN SEKUTU MENANG

17/11/2025 05:53 PM

KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Keputusan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam Abdul Halim Sidek Gulam Hassan menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dibuat bagi meminimumkan pertembungan dan meningkatkan peluang kemenangan rakan sekutu.

Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu membuktikan komitmen pihaknya untuk mengutamakan peluang kemenangan berbanding sekadar bertanding di seberapa banyak kerusi.

“Sekurang-kurangnya kami (PH) dah usahakan satu (untuk meminimumkan pertembungan), walaupun beliau (calon) sudah menghantar kertas penamaan.

“Saya ucapkan terima kasih pada calon berkenaan kerana kami telah melakukan rundingan dan beliau bersetuju. Ini adalah bukti bahawa kami cuba untuk meningkatkan peluang kebolehmenangan kepada rakan sekutu kami,” katanya pada program santai bersama calon PH bagi DUN Api-Api Thonny Chee di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud menerusi kenyataan memaklumkan Abdul Halim menarik diri daripada PRN ke-17 selepas perbincangan diadakan bersama pimpinan tertinggi PH.

Selepas selesai proses penamaan calon PRN ke-17 pada Sabtu lepas, DUN Silam menyaksikan saingan sembilan penjuru dalam usaha meraih sokongan daripada 28,261 pengundi. 

DUN Silam adalah satu daripada empat DUN dalam Parlimen Lahad Datu selain Tungku, Segama dan Kunak. 

Saifuddin Nasution ketika mengulas mengenai manifesto PH berkata ia akan dimuktamadkan tidak lama lagi memandangkan kempen PRN ke-17 baru sahaja bermula. 

“PH masuk bertanding PRN Sabah ini tidak sampai satu pertiga daripada 73 kerusi. Jadi, kalau untuk manifesto, manifesto kami ialah untuk menjadi regu strategik yang penting ke arah penubuhan kerajaan negeri tapi itu akan kami muktamadkan kerana kempen baru dua hari,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian, manakala 25 Nov untuk hari mengundi awal.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan