POLITIK > BERITA

NOORUDIN TEKAD WUJUDKAN LEBIH BANYAK PELUANG KERJA UNTUK BELIA SEMPORNA

18/11/2025 09:53 AM

Oleh Noorazlina Jindeh

SEMPORNA, 18 Nov (Bernama) -- Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Noorudin Abdul Hussin menegaskan komitmennya untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia di Semporna.

Beliau berkata komitmen itu selaras dengan potensi besar daerah berkenaan sebagai destinasi pelancongan yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya, termasuk pulau-pulau tumpuan seperti Pulau Sipadan, Pulau Mabul, Pulau Kapalai, Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mataking.

Noorudin, 39, yang merupakan anak jati Semporna berkata industri pelancongan yang menjadi nadi ekonomi daerah seharusnya memberi manfaat optimum kepada penduduk tempatan, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia.

“Ada keluhan daripada belia apabila peluang pekerjaan diisi oleh mereka yang bukan dari kalangan masyarakat setempat. Kita mahu supaya keutamaan diberikan kepada penduduk tempatan, terutamanya golongan belia,” katanya kepada Bernama.

Noorudin, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda GRS DUN Bugaya, berkata martabat dan kemampuan belia Semporna perlu diperkukuh agar mereka dapat bersaing dalam pasaran pekerjaan yang semakin mencabar.

Katanya, 50 peratus penduduk Bugaya terdiri daripada golongan belia dan mereka sewajarnya diberi keutamaan untuk mengisi tenaga kerja di daerah yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa itu.

Selain memberi tumpuan kepada sektor pelancongan, Noorudin juga berhasrat memajukan industri pertanian dan penternakan yang telah lama diceburi penduduk Bugaya, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata pelbagai bantuan dan inisiatif diwujudkan di bawah Kerajaan MADANI bagi membantu pekebun kecil dan penternak, yang mampu memberi manfaat langsung kepada penduduk Bugaya.

Sehubungan itu, Noorudin yakin penduduk Bugaya yang mahukan perubahan dan pembangunan berterusan akan memberi mandat kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

DUN Bugaya mempunyai seramai 36,559 pengundi pada PRN ke-17 dan merupakan satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Semporna selain Sulabayan dan Senallang.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah, manakala 25 Nov bagi pengundian awal.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 

N66: BUGAYA: SABAH: 36,569

1. Jamil Hamzah                     (Warisan)

2. Noorudin Abdul Hussin       (GRS-Gagasan Rakyat)

3. Maulana Unding                  (Aspirasi)

4. Roslan Ali                            (PR)

5. Mohd Taha Mohd Dara        (STAR)

6. Arman Marasal                    (PIS)

7. Suffian Ahmad                     (Rumpun)

8. Jamil Abdul Gapar               (PN-Bersatu)

9. Abdul Manan Indanan         (BN-UMNO)

 

(2020: Manis Muka Mohd Darah: Warisan Plus-Warisan: Maj: 6,005)

(2022: Jamil Hamzah: Warisan: Maj: 6,629)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan