POLITIK > BERITA

CALON PH GUM-GUM TEKAD PERJUANG ISU AIR, JALAN RAYA DAN BEKALAN ELEKTRIK

18/11/2025 02:09 PM

SANDAKAN, 18 Nov (Bernama) -- Isu bekalan air, jalan raya dan elektrik yang sering digelar masalah ‘tiga serangkai’ akan menjadi fokus utama perjuangan calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum, Abdul Said Pimping, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Abdul Said, 53, berkata sebagai calon yang mewakili parti pemerintah Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan, beliau akan memanfaatkan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah tersebut secara menyeluruh.

“Saya ingin menyatakan komitmen dan keutamaan saya untuk terus memperjuangkan isu air, jalan dan elektrik ini sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

“Saya akan merangka pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan tiga isu utama yang telah berlanjutan terlalu lama ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ketika berkempen di Pulau Libaran, Abdul Said berkata beliau juga akan berusaha memastikan penduduk pulau tersebut, yang masih bergantung kepada air telaga, dapat menikmati bekalan air bersih.

“Air telaga di pulau ini bercampur dengan air masin, ini memberi kesukaran kepada penduduk menggunakannya untuk memasak. Maka, apabila diberi mandat, fokus utama saya adalah menambah baik infrastruktur asas termasuk bekalan air di Pulau Libaran.

“Air telaga di pulau ini bercampur dengan air masin, menyebabkan penduduk sukar menggunakannya untuk memasak. Justeru, jika diberi mandat, fokus saya adalah menambah baik infrastruktur asas, termasuk bekalan air di Pulau Libaran.

“Penduduk pulau ini berharap kita (PH) dapat membela nasib mereka dan memberi perhatian terhadap masalah tiga serangkai iaitu bekalan air, jalan raya dan elektrik,” katanya semasa Program Wayang Pacak di sini semalam.

Beliau, yang juga Ketua Cabang PKR Libaran, turut komited meneruskan projek pembangunan sedia ada di kawasan Gum-Gum sekiranya projek itu terbukti membawa manfaat kepada rakyat.

“Jika perancangan pemimpin terdahulu bersesuaian dan memberi kebaikan kepada rakyat, projek tersebut wajar diteruskan serta ditambah baik sekiranya masih ada ruang penambahbaikan,” katanya.

Beliau menegaskan wakil rakyat tidak seharusnya menghentikan atau membatalkan sesuatu projek semata-mata kerana perbezaan politik.

“Jangan, apabila kita dipilih sebagai wakil rakyat, perancangan yang memberi manfaat kepada rakyat dihentikan atau dibatalkan hanya kerana kita tidak sehaluan dengan kerajaan sebelum ini. Itu tidak sepatutnya berlaku.

“Saya akan membuat semakan di peringkat jabatan atau agensi berkaitan bagi memastikan projek pembangunan di DUN Gum-Gum tidak terhenti sekali gus menjamin kawasan ini tidak ketinggalan daripada arus pembangunan,” katanya.

Abdul Said berkata majoriti penduduk di Gum-Gum terdiri daripada petani, pekebun kecil dan nelayan yang memerlukan bantuan serta insentif kerajaan, dan beliau memberi jaminan bahawa bantuan tersebut akan disalurkan kepada rakyat di kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Nov sebagai tarikh penamaan calon PRN Sabah, manakala pengundian awal pada 25 Nov dan hari pengundian pada 29 Nov.

Untuk berita tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

 
N50: GUM-GUM: SABAH: 19,433
 
1. Yunus Nurdin (PN-Bersatu)
2. Abdul Said Pimping (PH-PKR)
3. Asmawi Asa (Bebas/IND)
4. Mohd Yusuf Yoda (Bebas/IND)
5. Arunarnsin Taib (Warisan)
6. Esnin Satur (PIS)
7. Fadly Voon (Bebas/IND)
8. Datuk Salzo Asa (Bebas/IND)
9. Peter Jr Naintin (UPKO)
 
(2020: Arunarsin Taib: Warisan Plus-Warisan: Majoriti: 269)
 
-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan