KOTA BELUD, 18 Nov (Bernama) -- Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pembangunan di DUN Usukan akan terus dipacu melalui penyediaan perumahan mampu milik serta peluang pekerjaan untuk golongan muda, sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menurut Salleh, 68, yang mempertahankan kerusi berkenaan, PRN kali ini memberikan peluang untuk beliau dan BN menerangkan hala tuju pembangunan Usukan secara lebih menyeluruh demi kesejahteraan penduduk.
Bendahari UMNO Sabah itu berkata, perumahan untuk golongan muda menjadi antara fokus utama termasuk memperkenalkan konsep tanpa bayaran pendahuluan serta skim ‘rent and own’ bagi memudahkan golongan itu memiliki rumah.
“Kita bercadang mewujudkan perumahan di Kota Belud ini yang tidak memberi penekanan kepada pembayaran awal (pendahuluan) atau down payment. Kita membuat satu konsep iaitu jika anda ditawarkan untuk mendapat rumah tersebut, anda boleh masuk tanpa membayar pendahuluan… kedua, kita akan memperkenalkan sistem rent and own,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata inisiatif perumahan mampu milik di Usukan itu amat signifikan memandangkan kebanyakan belia dari daerah Kota Belud yang bekerja di Kota Kinabalu terpaksa menyewa di bandar raya itu dengan kos tinggi.
Menurut beliau, dengan siapnya Lebuhraya Pan Borneo kelak, perjalanan antara Kota Belud dan Kota Kinabalu dijangka menjadi lebih lancar dan singkat, sekali gus memudahkan belia yang bekerja di ibu negeri untuk menetap di Kota Belud melalui skim perumahan mampu milik ditawarkan.
Dalam pada itu, Mohd Salleh menegaskan sektor pelancongan di DUN Usukan, khususnya Pulau Mantanani mempunyai potensi besar untuk menjana ekonomi limpahan jika lebih banyak kemudahan penginapan dibangunkan.
“Sekarang ini yang berlaku, (pelancong) pagi datang ke Kota Belud, petang mereka balik… jadi tidak ada limphannya. Kalau mereka (pelancong) tinggal di Kota Belud maka mereka berbelanja di Kota Belud, ini akan meningkatkan ekonomi masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Salleh juga berkata pelan induk pembangunan Usukan turut memberi keutamaan kepada isu asas seperti air, elektrik, jalan raya dan Internet.
Salleh turut menyatakan keyakinan bahawa rekod khidmat beliau serta rangka pembangunan Usukan yang konsisten menjadi asas kukuh untuk mempertahankan kerusi dimenanginya dengan majoriti 4,298 undi pada pilihan raya lepas.
Beliau berkata pertandingan enam penjuru kali ini bukan sekadar pertembungan calon, sebaliknya persaingan dasar dan tawaran masa depan Sabah oleh parti-parti politik besar yang mewakili visi berbeza.
Salleh berkata perjuangan politik harus kekal berteraskan adab, nilai dan persaingan sihat, bukan sekadar personaliti atau sentimen.
Menjawab cabaran daripada calon muda, Salleh berkata politik bukan soal usia tetapi kebolehan membawa penyelesaian, kebijakan dan hasil nyata kepada rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian, manakala undi awal pada 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
| N10: USUKAN: SABAH: 24,235 | ||||||||||||
|
||||||||||||
| (2020: Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak: BN-UMNO: Maj: 4,298) |
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial