POLITIK > BERITA

PENERIMAAN RAKYAT SABAH TERHADAP PH AMAT POSITIF - NURUL IZZAH

19/11/2025 11:47 AM

PENAMPANG, 19 Nov (Bernama) -- Penerimaan rakyat Sabah terhadap Pakatan Harapan (PH) serta calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dilihat sangat positif, kata Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah minggu lepas, serta memberikan keutamaan kepada pengiktirafan ekonomi negeri sebelum kempen pilihan raya bermula, antara faktor yang membawa reaksi positif penduduk.

Menyifatkan kebanyakan rakyat di Negeri Di Bawah Bayu sebagai amat peramah, Nurul Izzah berkata ia seterusnya mencerminkan keterbukaan rakyat untuk menilai tawaran PH semasa berkempen dengan berdasarkan fakta dan rekod pelaksanaan setakat ini.

“Kami minta supaya pilihan (pengundi) berasaskan fakta dan saya amat bersyukur dengan respons yang sangat positif,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan Tinjauan Mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog di Pasar Tamu Donggongon di sini hari ini, yang turut disertai calon PH Remysta Jimmy Taylor.

Nurul Izzah yang juga Pengarah Bersama Kempen Pilihan Raya PKR berkata komitmen dan khidmat parti kepada rakyat tidak terhenti selepas tamat kempen.

“Selepas berkempen dan hari mengundi, ialah bagaimana mereka boleh memberikan khidmat dan cuba menyelesaikan masalah (rakyat) dalam jangka pendek, pertengahan dan panjang kerana kita tahu, bukan semua boleh diselesaikan 24 jam,” katanya.

Pada kunjungan itu, Nurul Izzah yang meluangkan masa lebih sejam disambut mesra peniaga dan pengunjung pasar yang tidak melepaskan peluang bergambar serta merakam video sebagai kenangan.

Peniaga dan pengunjung juga tidak ketinggalan menyanyikan lagu “Selamat Hari Jadi” untuk meraikan ulang tahun kelahiran Nurul Izzah hari ini.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis dengan pasangan.

Untuk berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

 

N26: MOYOG: SABAH: 31,084

1. Peter Maurice Lidadun                                 (Bebas)

2. Cleftus Stephen Spine                                  (PIS)

3. Datuk Donald Peter Mojuntin                        (UPKO)

4. Francis Mojikon                                             (PN-Bersatu)

5. Richard Ronald Dompok                               (PKS)

6. Ricky Chang Onn Pin @ Ricky Richard        (Bebas/IND)

7. Walter Norbert Johnny                                   (PBK)

8. Joeynodd Aiiko Ronald C Bansin                   (GRS-PBS)

9. Mckery Victor Ninin                                        (KDM)

10. Joseph Suleiman                                          (STAR)

11. Terrence Siambun                                         (Warisan)

12. Remysta Jimmy Taylor                                  (PH-PKR)

 

(2020: Datuk Ignatius Darell Leiking: Warisan Plus-Warisan: Maj: 5,935)

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan