POLITIK > BERITA

JANNIE RAYU PENGUNDI BERI SEMULA MANDAT, MAHU SELESAI ISU BANJIR DAN DENGGI DI KAPAYAN

20/11/2025 09:27 PM

KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan Datuk Jannie Lasimbang merayu pengundi memberi semula mandat kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 untuk berkhidmat bagi penggal kedua.

Beliau berkata isu-isu berlarutan seperti banjir dan denggi di kawasannya memerlukan masa untuk diselesaikan kerana penyelesaiannya yang rumit.

Calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP itu berkata penyelesaian berkenaan memerlukan koordinasi kerajaan dan pembiayaan yang besar, yang tidak dapat dicapai dalam sekelip mata.

Jannie berkata malah, projek mitigasi banjir berskala kecil seperti di Luyang menelan kos sekitar jutaan ringgit sekali gus menunjukkan betapa rumit dan mahalnya pelaksanaan projek tersebut.

“Cabaran ini bertambah besar apabila kawasan ini mengalami hujan lebat luar biasa, yang mengakibatkan banjir berlaku lebih kerap dan buruk.

“Perancangan infrastruktur juga sukar menampung pertumbuhan pesat penduduk Kapayan, dengan bilangan pengundi meningkat daripada 32,000 pada 2020 kepada 50,000 orang pada masa ini.

"Itulah sebabnya mereka menekankan betapa pentingnya kestabilan politik,” katanya.

Jannie berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kebimbangan disuarakan mengenai manifestonya berikutan isu berlarutan di kawasan Kapayan.

Beliau ditemui selepas melancarkan manifestonya di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 25 Nov untuk undi awal. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

 

N25: KAPAYAN: SABAH: 49,597

1. Cyril Gerald Liew @ Cyril Gerald Austin     (Bebas)

2. Len Lip Fong @ Land Lip Fong                   (Bebas)

3. Billy Joe Dominic                                         (UPKO)

4. Bernard A Logijin                                          (STAR)

5. Kuo Lee On                                                  (PBK)

6. Sabaria @ Sabariah Aziz                             (Bebas)

7. Sylvester Molukun                                        (ASPIRASI)

8. Dr Edwin @ Jack Bosi                                 (KDM)

9. Chin Ling Ling                                             (PIS)

10. Datuk Jannie Lasimbang                          (PH-DAP)

11. Chin Tek Ming                                           (Warisan)

12. Wong Kong Fooh                                      (Anak Negeri)

 

(2020: Datuk Jannie Lasimbang: Warisan Plus-DAP: Maj: 13,163)

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan