POLITIK > BERITA

DUN LIMBAHAU TERUS MEMBANGUN DI BAWAH KERAJAAN GRS - JUIL

21/11/2025 09:35 AM

Oleh Suraidah Roslan

PAPAR, 21 Nov (Bernama) -- Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau menyaksikan pembangunan berterusan di bawah kerajaan yang diterajui parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi dasar Sabah Maju Jaya (SMJ), kata calon GRS bagi DUN itu Datuk Juil Nuatim.

Beliau yang juga penyandang kerusi itu berkata antara projek dilaksanakan adalah pembinaan Jambatan Ulu Kaiduan di bawah Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Kaiduan yang memberi manfaat kepada 2,000 penduduk dan jambatan gantung berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kaiduan.

Menurutnya, setiap tahun beliau menerima peruntukan antara RM2 juta hingga RM3 juta bagi melaksanakan pembangunan dan program di Limbahau termasuk pemberian bantuan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (Syukur) sebanyak RM300 sebulan kepada penerima yang layak.

“Malah, semasa saya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang sebelum ini, saya menggunakan elaun ADUN bagi membantu rakyat yang memerlukan kerana manifesto saya adalah membantu orang-orang susah,” katanya kepada Bernama.

Dalam sektor pertanian, Juil berkata beliau akan meneruskan usahanya meningkatkan pengeluaran beras Limbahau dengan menyediakan jentera pembajak dan menuai padi di kawasan sawah seluas kira-kira 1,000 hektar di DUN itu.

Bagi pembangunan modal insan pula, Juil berkata Kementerian Pendidikan telah meluluskan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gana bernilai RM129 juta di kawasan seluas 12 hektar.

Sementara itu, katanya pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa Dua yang bernilai lebih RM300 juta turut dilaksanakan di Limbahau bagi mengatasi isu kekurangan bekalan air bukan sahaja di DUN tersebut tetapi juga di kawasan pantai barat Sabah.

Projek yang dijangka siap awal tahun depan itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran bekalan air daripada 40 juta liter sehari (MLD) kepada 80 MLD, selain pembinaan muka sauk kedua LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau di Kampung Kabang.

Untuk membantu golongan B40, Juil berkata sebanyak 80 unit Rumah SMJ telah dibina dalam tempoh tiga tahun dan bilangan itu akan terus ditambah sekiranya beliau terus diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala pengundian awal pada 25 Nov.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

 
N27: LIMBAHAU: SABAH: 20,225
 
1. Joseph Philip Kulip (PIS)
2. Linda Beda Dunstan (Bebas/IND)
3. Malik Luman (KDM)
4. Datuk Nelson W Angang (UPKO)
5. Datuk Edward Dagul (SAPP)
6. Roger @ Roy Valentine Amandus (Warisan)
7. Datuk Juil Nuatim (GRS-Calon Langsung/Direct Candidate)
8. Adrian Alexander (PN-Bersatu)
9. Marcellus Tambud (Bebas/IND)
 
(2020: Datuk Juil Nuatim: Warisan Plus-Warisan: Maj: 2,523)
 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan