POLITIK > BERITA

PERKUKUH EKONOMI NEGERI AGENDA UTAMA DAP SABAH - PHOONG

20/11/2025 11:02 PM

TAWAU, 20 Nov (Bernama) -- Pengukuhan ekonomi negeri menjadi agenda utama DAP Sabah dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Pengerusinya Phoong Jin Zhe.

Phoong yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas berkata penekanan diberikan terhadap isu pembangunan ekonomi kerana ia merupakan keperluan utama rakyat Sabah pada masa ini.

“Jika ekonomi baik, peluang pekerjaan dan perniagaan bertamba. Hal ini akan memberi banyak peluang kepada anak muda, ini adalah kunci fokus untuk agenda DAP kali ini,” katanya kepada pemberita di Bilik Operasi PH-DAP Sri Tanjong di sini hari ini.

Beliau berkata DAP Sabah juga menggunakan platform pilihan raya untuk mengemukakan idea baharu bagi menambah baik ekonomi negeri itu.

Selain itu, Phoong berkata calon Sri Tanjong, Philip Yap Wui Lip berjaya melaksanakan 10 pencapaian dalam tempoh tiga tahun mengetuai DAP Society Youth di sini.

“DAP Tawau dan Yap berada di Pasar Baru Taman Sin On membuka kaunter perkhidmatan bergerak dan mendengar suara rakyat. Di pusat khidmat pula, Yap menyediakan sesi nasihat guaman percuma pada setiap bulan," katanya. 

Phoong berkata Yap juga bekerjasama dengan pekebun dan perusahaan tempatan bagi mempromosi avokado 'QAV1' yang dibangunkan Jabatan Pertanian Tawau selain mengedarkan risalah panduan pelancongan di Lapangan Terbang Tawau.

Beliau berkata pengalaman selama 10 tahun Yap sebagai kaunselor di Majlis Perbandaran Tawau diyakini mampu mentadbir DUN Sri Tanjong dengan baik sekali gus menjadi perantaraan dengan kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Yap berkata antara komitmen utamanya jika diberi mandat adalah menubuhkan pasukan petugas khas pelancongan bersama-sama pemain industri bagi memacu pembangunan sektor berkenaan di Tawau.

Tarikh pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov manakala hari pengundian 29 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

 

N69: SRI TANJONG: SABAH: 37,327

1. Wong Su Vui                    (Bebas)

2. Philip Yap Wui Lip            (PH-DAP)

3. Fung Len Fui                    (STAR)

4. Joseph Mosusah               (PIS)

5. Ricky Hong Chee Kiong    (KDM)

6. Justin Wong Yung Bin    (Warisan)

 

(2020: Justin Wong Yung Bin: Warisan Plus-DAP: Maj: 8,880)

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan