Oleh Mohd Khairi Idham Amran
MEMBAKUT, 23 Nov (Bernama) -- Penduduk Kampung Binsulok di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut berasa lega dan menyambut baik usaha menaik taraf jambatan kayu kampung itu, yang disifatkan sudah usang dan berbahaya, khususnya kepada kanak-kanak serta penunggang motosikal.
Seorang penduduk Rahduan Abu Bakar, 47, berkata jambatan itu sudah lama uzur dan sering membahayakan pengguna, termasuk kanak-kanak yang berulang-alik ke kedai runcit dan sekolah agama.
“Jambatan di Kampung Binsulok ini memang sudah agak lamalah dan sekarang sudah usang dengan kayu-kayu dia yang sudah buruk,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Rahduan berkata jambatan berkenaan pernah runtuh dalam kejadian membabitkan sebuah lori yang cuba menyeberang untuk mengangkut batu dan mengambil masa sehingga setahun untuk dibaik pulih.
“Jadi, penduduk yang sebelah sana untuk pergi ke sini mereka terpaksa menaiki rakit. Budak sekolah, orang tua, semua pun menggunakan rakit,” katanya.
Sehubungan itu, beliau amat menghargai usaha Ahli Parlimen Kimanis dan calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Bongawan Datuk Mohamad Alamin, yang mengusahakan pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan jambatan kayu yang usang itu.
Kedua-dua DUN Bongawan dan Membakut terletak di bawah Parlimen Kimanis.
Seorang suri rumah Hatizah Baktir, 34, berkata pengguna terpaksa berhati-hati setiap kali melalui jambatan itu, kerana struktur papan sering bergoyang selain hanya satu kereta boleh melalui jambatan berkenaan pada satu-satu masa.
“Dia (jambatan) macam bergoyang-goyang juga…kena limpas (lalu) dulu satu kereta baru saya (boleh) limpas,” katanya.
Sementara, calon BN bagi kerusi Membakut Rusman Dulamit berkata beliau komited memastikan pembinaan semula jambatan berkenaan dengan struktur yang lebih kukuh, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.
Beliau berkata pembinaan jambatan baharu itu dijangka menyelesaikan masalah keselamatan penduduk selain memudahkan pergerakan harian, termasuk aktiviti ekonomi kecil dan akses pelajar ke sekolah.
Rusman berkata pembinaan jambatan baharu berkenaan serta bangunan Sekolah Kebangsaan Binsulok yang sebelum ini dalam keadaan daif, merupakan hasil usaha BN di kawasan itu yang diterajui Mohamad, yang juga adalah Timbalan Menteri Luar.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, BN meletakkan calon di 45 kerusi DUN termasuk Membakut, yang akan ditandingi muka baharu Rusman dalam pertembungan 10 penjuru bagi mencabar Datuk Mohd Arifin Mohd Arif daripada GRS ,yang telah menyandang kerusi berkenaan sejak 2004.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
| PENCALONAN/NOMINATION - SABAH | ||||||||||||||||||||
| N31: MEMBAKUT: SABAH: 18,563 | ||||||||||||||||||||
|
||||||||||||||||||||
| (2020: Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif: PN-Bersatu: Majoriti: 3,421) | ||||||||||||||||||||
| -- BERNAMA |
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial