POLITIK > BERITA

BN SABAH TAWAR ENAM TERAS PEMBANGUNAN, SELESAIKAN ISU ASAS DALAM SATU PENGGAL - AHMAD ZAHID

22/11/2025 11:55 AM

KOTA KINABALU, 22 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Sabah menawarkan enam tonggak pembangunan di negeri itu, termasuk komitmen menyelesaikan isu asas yang membelenggu Sabah selama ini dalam tempoh satu penggal, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru beliau meminta rakyat Sabah menilai manifesto itu sebagai aku janji sebenar, bukan sekadar tawaran politik, meskipun BN menyedari kedudukannya sebagai ‘underdog’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Walaupun kita dianggap underdog dalam PRN Sabah ke-17 kali ini, yakinlah bahawa kerinduan rakyat Sabah terhadap BN sangat tinggi. Manifesto berdasarkan enam tonggak ini benar-benar merupakan aku janji yang akan dilaksanakan oleh BN Negeri Sabah.

“Yakinlah, isi kandungan manifesto ini cukup padat dan mantap demi kepentingan rakyat Sabah keseluruhannya. Tiada satu pun kumpulan rakyat Sabah yang akan tertinggal dalam aku janji yang tercatat di manifesto ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Manifesto BN di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis di Bangunan UMNO Sabah ialah Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Wanita BN Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata manifesto yang dinamakan ‘Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1)’ yang dibentangkan hari ini tidak dirangka secara tergesa-gesa, sebaliknya telah siap seminggu sebelum hari penamaan calon pada 15 Nov, namun dilancarkan hari ini agar rakyat mempunyai ruang mencukupi untuk membandingkannya dengan tawaran parti lain.

Beliau berkata keyakinannya terhadap kemampuan BN Sabah melaksanakan aku janji itu diperkuat dengan komitmen Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang tetap bersama rakyat meskipun berdepan pelbagai cabaran politik.

Menurut Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, BN dan UMNO Sabah memiliki autonomi penuh untuk melaksanakan semua aku janji manifesto, selari dengan kuasa yang diberikan parti induk kepada kepimpinan negeri.

Beliau berkata dengan 45 calon diketengahkan pada PRN Sabah ke-17, beliau yakin BN Sabah mampu melaksanakan setiap perancangan secara menyeluruh sekiranya mendapat mandat rakyat pada 29 Nov ini.

Ahmad Zahid turut menekankan keperluan menyelesaikan isu asas infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, yang disifatkannya sebagai keutamaan rakyat Sabah ketika ini.

“Jika BN diberikan mandat semula untuk mentadbir negeri Sabah, insya-Allah masalah tiga serangkai – air, jalan dan elektrik akan diselesaikan dalam tempoh satu penggal,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Sabah menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2026, menggambarkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan negeri itu.

“Jika mandat diberikan semula kepada BN Sabah, saya bertekad untuk menambah peruntukan yang lebih besar lagi di kawasan luar bandar ini,” katanya.

 Ahmad Zahid menyeru jentera BN untuk turun ke lapangan dan mendekati pengundi sekerap yang boleh sehingga ke peringkat lokaliti bagi memastikan mesej manifesto dan semangat kebangkitan BN dapat disampaikan sepenuhnya.

Pada PRN Sabah ke-17, BN bertanding di 45 daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan 81 peratus calonnya merupakan muka baharu, termasuk hampir separuh daripada mereka golongan profesional dan muda.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan