POLITIK > BERITA

HAJIJI BAWA PERUBAHAN DEMI MANFAAT RAKYAT SULAMAN

22/11/2025 06:54 PM

TUARAN, 22 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menafikan dakwaan pembangkang bahawa tiada perubahan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang diwakilinya sejak lapan penggal lepas.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga calon DUN Sulaman itu berkata pelbagai perubahan telah dilaksanakan demi memberi manfaat kepada rakyat selama ini.

“Sebenarnya Sulaman ini cukup disayangi, saya nampak majalah ‘Sulaman Yang Ku Sayang’, memang saya sayang betul Sulaman. Sokongan rakyat di Sulaman begitu hebat sekali kepada saya kerana itulah selama saya jadi wakil rakyat, saya beri tumpuan, apa kami buat di Sulaman?

“Saya bawa pelbagai perubahan di Sulaman, hanya pembangkang tidak nampak apa kami buat. Perumahan besar di Sulaman, di pekan Tuaran, cukup untuk rakyat kita, kemudahan asas jalan raya ke kampung-kampung hampir 100 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hajiji berkata antara pencapaian besar adalah pembinaan kampung tersusun di Mengkabong dan Kampung Penimbawan, iaitu setiap keluarga nelayan diberikan rumah percuma dan berpindah ke daratan berbanding tinggal di atas air.

“Kami buat itu kerana mahu tolong nelayan yang tinggal di atas air, beri mereka perumahan, rakyat yang miskin susah. Sekarang kita ada Rumah Sabah Maju Jaya lagi, walaupun banyak belum dapat tapi ini satu usaha yang baik,” katanya.

Beliau berkata turut dilaksanakan adalah pembinaan Kompleks Sukan Tuaran membabitkan kos RM15 juta di atas tanah seluas 6.07 hektar selain menyediakan peruntukan tahunan kepada persatuan belia serta bantuan perniagaan kecil-kecilan.

Hajiji berkata usaha membangunkan Tuaran turut meliputi projek menaik taraf jalan dari Bulatan Berungis ke Batangan menjadi jalan dua hala empat lorong serta Projek Lebuhraya Pan Borneo dari Serusup, Tuaran ke Binturu, Kota Belud yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Sulaman adalah satu daripada DUN dalam Parlimen Tuaran selain Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Nov bagi undi awal manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.

Untuk berita terkini PRN Sabah, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

 

N12: SULAMAN: SABAH: 18,352

1. Datuk Seri Hajiji Noor                  (GRS-Gagasan Rakyat)

2. Tiaminah @ Siti Aminah Ele        (PN-Bersatu)

3. Dr Shahnon Rizal Thaijuddin       (BN-UMNO)

4. Pajudin Nordin                             (PIS)

5. Mohktar Hussin                            (Warisan)

(2020: Datuk Seri Hajiji Noor: PN-Bersatu: Maj: 3,099) 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan